KENYATAAN MEDIA [3 SEPTEMBER 2019] PENJELASAN PENDIRIAN BERSIH 2.0 TERHADAP ISU PROTES DI HONG KONG

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ingin menjelaskan kenyataan kami yang dibuat pada 1 September 2019 bertajuk “BERSIH 2.0 Menggesa Pembeabsan Aktivis Pro-Demokrasi di Hong Kong”.

 

  1. Dalam kenyataan awal kami, kami menzahirkan rasa bimbang terhadap penahanan 10 pemimpin pro-demokrasi sebelum perhimpunan bermula, keganasan polis yang berleluasa dan ruang sivik yang semakin sempit di Hong Kong serta kami menggesa kerajaan Hong Kong untuk memberi respon kepada lima tuntutan peserta protes. Kami juga menggesa pembebasan 10 orang pemimpin yang telah ditahan.

 

  1. Bersih 2.0 komited terhadap protes aman sebagaimana yang ditunjukkan oleh kenyataan-kenyataan kami yang lepas berkenaan himpunan yang kami anjurkan serta usaha kami bagi memastikan peserta himpunan Bersih dalam keadaan tersusun dan selamat. Dengan itu, kami tidak boleh membiarkan sebarang tindakan keganasan dari mana-mana pihak sama ada polis atau sebarang segmen daripada pemprotes di Hong Kong.

 

  1. Kami sangat gusar terhadap tindakan ganas kelompok minoriti namun yang lebih radikal menjejas hak yang sah kelompok majoriti untuk mengadakan bantahan secara aman bagi menunjukkan ketidakpuasan hati mereka. Bersih 2.0 menggesa semua pihak untuk menghentikan tindakan ganas dan mengurangkan tekanan dengan semua kembali ke meja perundingan untuk berunding penyelesaian terbaik bagi konflik ini. Akan menjadi suatu tragedi kepada Hong Kong, China dan dunia secara keseluruhannya sekiranya krisis ini berakhir dengan tragedi berdarah ala Tiannanmen. Oleh itu, penyelesaian secara politik dan mapan perlu dicari bagi menyelesaikan masalah ekonomi yang semakin marginal dan pengasingan politik yang dialami oleh warga Hong Kong yang mencetuskan protes ini. 

 

  1. Sebagai gerakan yang telah dan sedang terlibat untuk memperjuangkan ruang demokratik di Malaysia, kami bersolidariti bersama warga Hong Kong yang mahukan keunikan ruang demokratik mereka dipelihara di dalam kedaulatan Republik Rakyat China, dengan janji mendiang Deng Xiao Ping untuk wujudnya ‘satu negara, dua sistem’. Kami sentiasa ingat semasa zaman gelap pergelutan kami dan pemimpin kami di tangkap serta diganggu, banyak sekali kumpulan pro-demokrasi di rantau ini mengeluarkan kenyataan solidariti untuk kami. Kami tidak boleh terus berdiam diri apabila rakyat negara lain sedang melaungkan teriakan kebebasan dan keadilan. 

 

  1. Sementara situasi politik secara global semakin berkonfrontasi, kami akui cabaran untuk menjadi kongruen dan konsisten dalam membandingkan perkembangan yang setara merentasi negara yang berbeza. Bersih 2.0 mengalukan kritikan bagaimana untuk berbuat demikian dan pada masa yang sama menggesa diberikan ruang dan minda yang terbuka untuk pertimbangan serta dialog dalam golongan demokrat di negara ini dalam isu seperti di Hong Kong, Xinjiang, Kashmir sehingga ke Papua Barat. 

 

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0