WWW.BERSIH.ORG DISERANG DENGAN DDOS
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah dimaklumkan oleh penyedia perkhidmatan web kami bahawa laman web rasmi kami www.bersih.org telah diserang DDOS (Distributed Denial of Service) secara berterusan sejak 13 September dan masih berterusan. Laman web kami kini telah pulih dan kami sedang berusaha melakukan segala yang termampu bagi menghalang serangan tersebut.
Serangan DDoS berlaku apabila pelbagai sistem, melalui botnet, membanjiri jalur lebar atau sumber kepada sistem yang disasarkan. Pelayan kami menerima lebih 460 juta permohonan dalam tempoh beberapa hari ini. 5 serangan tertinggi adalah daripada Indonesia, Rusia, Thailand, China dan India namun adalah mustahil untuk mengesan secara pasti di mana asalnya serangan ini. Apa yang jelas adalah serangan ini adalah serangan bertumpu dan berkemungkinan didanai bagi meruntuhkan laman web kami.
Bersih 2.0 tidak tahu siapa yang ingin mensasarkan kami tetapi tindakan haram ini tidak akan melemahkan iltizam kami untuk bersuara demi kebebasan dan demokrasi, di dalam mahupun di luar negara. Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang cuba untuk menakut-nakutkan dan menyekat kebebasan ini.
Bersih 2.0 akan terus mengeluarkan kenyataan di laman web kami namun sekiranya ada gangguan, kami akan memasukkannya di laman Facebook (Bersih 2.0 [Official]) dan Twitter(@bersih2). Bagi mereka yang ingin menghubungi kami, anda boleh berbuat demikian dengan e-mel ke [email protected] .
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0