Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merujuk kepada kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 3 September 2019, yang cuba menjelaskan isu berkaitan #Undi18. Ini termasuk penurunan had umur layak mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun, penurunan umur layak menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun dan pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik.
Bersih 2.0 mengalukan penjelasan daripada SPR yang komprehensif dan jujur dalam memberi perincian pelbagai pertimbangan yang diperlukan sebelum #Undi18 dapat dilaksanakan, dengan anggaran SPR, antara 18 ke 24 bulan daripada sekarang. Namun demikian, Bersih 2.0 berpandangan bahawa pendaftaran mereka yang telah mencapai umur 18 tahun namun masih dibawah 21 tahun, perlu dan seharusnya dijalankan secepat yang mungkin menggunakan proses pendaftaran yang sedia ada dengan cara mengisi boring A di pejabat SPR, Pejabat Pos, melalui Penolon Pendaftar Pemilih(PPP) dan melalui atas talian di mysprdaftar.spr.gov.my.
Konsensus bersejarah merentasi parti yang dicapai di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 16 dan 25 Julai 2019 bagi meminda Perkara 119(1), 119(4), Perkara 47 dan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, bersama dengan persetujuan Yang Di Pertuan Agong, bermakna ianya telah menjadi sah untuk mereka yang berumur 18 dan ke atas untuk berdaftar sebagai pengundi secepat yang mungkin.
Walaupun Perkara 66(5) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “tetapi tiada undang-undang boleh berkuat kuasa sehingga undang-undang itu telah disiarkan”, walaupun dengan persetujuan YDPA, Bersih 2.0 percaya bahawa harapan orang ramai, terutamanya yang akan atau sudah berumur 18 tahun kelak, adalah mereka boleh membuang undi pertama mereka sekiranya ada pilihan raya kecil di kawasan mereka dan bagi yang menetap di Sarawak, akan dapat menyertai Pilihan Raya Negeri(PRN) yang selewat-lewatnya pada 5 Ogos 2021.
Setelah semua publisiti dan harapan yang tinggi dengan kejayaan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, ianya akan menjadi satu kekecewaan kepada pengundi muda ini sekiranya mereka dinafikan hak untuk mengundi di dalam pilihan raya kecil dan PRN Sarawak. Tidak sewajarnya ada sebarang penangguhan oleh kerajaan untuk mewartakan pindaan undang-undang bagi penguatkuasaan undang-undang ini dan membuka jalan kepada pengundi muda berdaftar dengan proses pendaftaran yang sedia ada sehingga mekanisme pendaftaran automatik diselesaikan.
Bersih 2.0 sedar bahawa pelaksanaan pendaftaran automatic adalah proses multidisiplin yang melibatkan pelbagai pindaan undang-undang, penaiktarafan ICT, perhubungan antara agensi, penentuan lokaliti pengundi, peruntukan sumber, bajet dan pelbagai pertimbangan yang lain. Memandangkan ianya juga melibatkan integriti senarai pemilih dan kelicinan pelaksanaan pilihan raya, pelaksanaan pendaftaran automatik tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru dan mesti diberikan tempoh untuk penyelesaian isu-isu yang lebih utama sebelum PRU15, selewatnya 13 September 2023.
Justeru, Bersih 2.0 menggesa agar pendaftaran pengundi antara 18 ke 21 tahun perlu dibenarkan secepat yang mungkin manakala masa perlu diberikan bagi melaksanakan pendaftaran automatik sebelum PRU15 kerana kedua-duanya adalah isu yang berasingan. Pindaan Perkara 119 perlu diwartakan secepat yang mungkin dengan tarikh penguatkuasaan.
Bersih 2.0 menggesa semua parti politik untuk menyokong pelaksanaan segera Undi18, yang diharapkan oleh anak muda, sementara mekanisme bagi pendaftaran automatic sedang diusahakan oleh SPR. Sekiranya tidak ada bantahan, Jabatan Peguam Negara perlu menetapkan tarikh penguatkuasaan pindaan warta secepat yang mungkin.
Sekali lagi, Bersih 2.0 ingin mengucapkan tahniah kepada penggubal undang-undang pada sidang Parlimen ke-14 ini atas kerjasama mereka untuk mencapai reformasi pilihan raya yang utama untuk mengiktiraf anak muda dan memperkasakan mereka dalam proses pembinaan negara. Masih banyak lagi reformasi pilihan raya dan politik yang memerlukan pindaan undang-undang dan kita mengharapkan kerjasama sebegini terus mekar agar Malaysia mempunyai demokrasi berparlimen yang matang dan sihat.
Satukan Tenaga, Malaysia Baru!
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0
Imej kredit : The Star