KENYATAAN MEDIA[ 9 hb Oktober 2019] HADKAN KUASA PM UNTUK CAMPUR TANGAN DALAM PUSAT PENCEGAHAN JENAYAH KEWANGAN NASIONAL

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengalu-alukan pembentangan Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong di Dewan Rakyat semalam mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Center-NFCC) bagi pembentukan sebuah agensi yang akan menyelaraskan operasi antara 12 agensi-agensi kerajaan yang berbeza dan memusatkan maklumat berkaitan dengan jenayah kewangan. Terdapat keperluan yang mendesak bagi pembentukan agensi ini kerana jenayah kewangan biasanya sangat rumit dan merentasi pelbagai sektor dan skop transnasional.

 

Walaubagaimanapun, Bersih 2.0 membantah keluasan kuasa Perdana Menteri untuk campur tangan dalam sebuah agensi seperti NFCC di mana pelantikan Ketua Pengarah (KP) untuk NFCC adalah hak mutlak Perdana Menteri dan agensi itu diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Kami amat tidak bersetuju dengan penjelasan Menteri Undang-Undang bahawa tidak ada keperluan untuk pelantikan KP melalui Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam. Memandangkan ini adalah undang-undang baru, jadikan ia sebahagian daripada proses pelantikan untuk disemak oleh PSC dan mereka juga mempunyai kuasa untuk menolak calon-calon yang tidak berkelayakan dan partisan. 

 

Skandal kewangan 1MDB perlu dijadikan iktibar bahawa membenarkan PM untuk mempunyai kawalan ke atas NFCC berpotensi menjadikan agensi tersebut sebagai agensi “pelindung” bagi jenayah kewangan yang dilakukan oleh Perdana Menteri akan datang ataupun kerajaan melainkan agensi ini ditubuh dengan niat – bagi memudahkan “perlindungan”. Penumpuan kuasa itu di bawah JPM juga akan melanggar Janji 12 Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya mereka untuk menghadkan keupayaan PM untuk memanipulasi institusi utama dengan mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh, dengan kuasa yang berkaitan akan diagihkan kepada badan-badan lain, termasuk kepada Parlimen. 

 

Bersih 2.0 menggesa Rang Undang-Undang NFCC dikaji semula untuk memasukkan proses tapisan yang lebih telus bagi pelantikan KP oleh Parlimen melalui PSC untuk Pelantikan Utama, dan supaya NFCC diletakkan di bawah Bank Negara, untuk mengurangkan campur tangan secara langsung oleh PM dan Badan Eksekutif. Negara akan terus berada dalam keadaan yang genting sekali lagi jika skandal kewangan seperti 1MDB berulang dan langkah-langkah pencegahan secara perundangan mesti dilaksanakan segera, bukan hanya untuk Rang Undang-Undang NFCC ini sahaja malah untuk pindaan lain bagi menjamin kebebasan institusi utama termasuk Bank Negara dan Parlimen. 

 

Bersih 2.0 juga mencadangkan istilah “Ketua Pengarah” digantikan dengan “Pengerusi” memandangkan KP biasanya dikaitkan dengan perkhidmatan awam dan lantikannya dibuat oleh Ketua Setiausaha Kerajaan. Ini juga akan meningkatkan kedudukan agensi ini bagi mencerminkan kepentingan NFCC. 

 

Bersih 2.0 ingin mengingatkan PM Tun Dr Mahathir mengenai ucapan beliau sendiri pada pendahuluan Buku Harapan (iaitu Manifesto Pakatan Harapan) … “Dengan terbitnya buku ini, kami juga dengan penuh tanggungjawab menyatakan bahawa kami sanggup dihakimi oleh rakyat sejauh manakah kami berjaya memenuhi janji-janji ini. Jika kami gagal atau mungkir janji tolaklah kami melalui proses demokrasi dalam pilihanraya umum.”. Menurut beliau lagi, “Kita tidak boleh harap Kerajaan ini (BN) akan betulkan kesalahannya sendiri. Yang boleh betulkannya ialah Kerajaan baru yang berwibawa dan membuat janji-janji yang munasabah dalam manifestonya. Perubahan Kerajaan boleh betulkan kesalahan Kerajaan sekarang (BN), tetapi pengekalan Kerajaan sekarang akan merosakkan lagi negara.. ” 

 

Tunjukkan kredibiliti anda, penuhi semua janji-janji anda, terutamanya janji anda untuk mereformasi institusi-institusi penting negara ini.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

Kredit Imej : The Sun Daily