Bersih 2.0, Tindak Malaysia dan ENGAGE Akan Melancarkan Pemantauan Pilihan Raya Bersama di PRK Tanjung Piai
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), ENGAGE dan Tindak Malaysia akan memantau Pilihan Raya Kecil(PRK) Tanjung Piai. Ketiga-tiga organisasi menyeru kepada semua calon yang bertanding dan parti politik untuk tegas mematuhi semua undang-undang pilihan raya. Misi pemantauan pilihan raya akan meliputi dari hari penamaan calon pada 2 November sehingga hari pengundian pada 16 November.
Selain itu, BERSIH 2.0 akan memantau aktiviti dan kenyataan dari ahli-ahli politik serta parti politik walaupun sebelum hari penamaan calon yang menyalahgunakan sumber negeri yang bertujuan untuk mempengaruhi pengundi di Tanjung Piai. Walaupun undang-undang semasa tidak menjadikan pengumuman projek-projek pembangunan atau janji bersyarat yang khusus untuk kawasan Parlimen Tanjung Piai sebagai suatu kesalahan, kami menggesa kerajaan PH untuk berpegang kepada prinsip pilihan raya yang bebas dan adil dengan tidak menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai kerajaan negeri dan persekutuan.
Skop misi pemerhatian pilihan raya akan termasuk pengendalian pilihan raya kecil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dari proses penamaan calon, tempoh berkempen, hari pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan.
Misi pemerhatian pilihan raya juga akan memantau mana-mana kesalahan pilihan raya dilakukan oleh ahli-ahli politik serta parti-parti politik, termasuk rasuah dan membeli undi, penjamuan dan hadiah, pemberian kerajaan yang tidak wajar / dorongan, penggunaan jentera kerajaan, ugutan, keganasan dan gangguan.
Memandangkan penggunaan isu bangsa dan agama untuk meraih undi dalam kempen pilihan raya kemungkinan besar akan berlaku, tiga organisasi akan sentiasa memberi perhatian terhadap pengucapan bencian oleh mana-mana pihak dalam pilihan raya kecil ini.
BERSIH 2.0 juga menyeru masyarakat, terutama penduduk Tanjung Piai, dengan sukarela untuk menjadi pemerhati pilihan raya. Pemerhati hendaklah berumur 21 tahun ke atas dan bukan ahli mana-mana parti politik. Tugas-tugas utama termasuk memantau pada hari penamaan calon, pengundian dan proses pengiraan undi serta aktiviti berkempen.
Sesiapa yang berminat untuk menjadi sukarelawan sebagai pemerhati atau melaporkan kesalahan pilihan raya boleh menghubungi BERSIH2.0 di 03-79314444 / 019-4380 428 atau mengisi borang aduan di aduan.pemantau.org.
Dikeluarkan oleh,
BERSIH 2.0
Tindak Malaysia
ENGAGE
Kredit imej : Sinar Harian