Kenyataan Media Bersih 2.0
18 Oktober 2019
Bersih 2.0: Struktur dan Mandat Jawatankuasa Khas Parlimen Untuk Pilihan Raya Perlu DiPerkukuhkan
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengalu-alukan pengumuman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong bahawa Jawatankuasa Khas Parlimen(PSC) untuk Pilihan Raya telah dibentuk selepas usul pembentukan itu lulus di Dewan Rakyat bersama tiga lagi PSC iaitu Hak Asasi Manusia dan Urusan Perlembagaan, Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan, serta Sains, Inovasi dan Alam Sekitar.
Kami juga ingin memberi kredit kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat YB Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md. Yusof dalam menerajui reformasi parliament yang amat penting ini.
Sebelum ini, dalam satu kenyataan bertarikh 9 September 2018 kami telahpun mencadangkan kepada kerajaan agar membentuk PSC Pilihan Raya selain daripada Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC). Kedua-dua badan ini mempunyai tugas yang berbeza di mana PSC akan mempunyai mandat yang lebih besar dari sudut perundangan kerana bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen serta penting untuk memudahkan proses melaksanakan cadangan-cadangan reformasi pilihan raya daripada ERC. Selain daripada itu, PSC untuk Pilihan Raya juga memainkan peranan periksa dan timbang yang amat penting kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sehubungan itu, Bersih 2.0 sekali lagi ingin mencadangkan beberapa perkara kepada pihak kerajaan sebagai panduan bagi pembentukan PSC Pilihan Raya ini:
Struktur Jawatankuasa
- PSC Pilihan Raya ini perlu menjadi satu jawatankuasa khas parlimen yang tetap agar peranan periksa dan timbang PSC ini terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat dijalankan sepanjang tahun.
- Jawatankuasa ini perlu dianggotai oleh parti politik daripada pihak kerajaan dan pembangkang berdasarkan nisbah bilangan kerusi parti di dalam Dewan Rakyat. Kami juga mencadangkan agar model PSC Pilihan Raya di Australia sebagai model di mana ahli parlimen daripada pihak kerajaan menjadi pengerusi dan timbalannya daripada ahli parlimen pembangkang.
- Sebagai kriteria untuk pemilihan ahli-ahli PSC untuk Pilihan Raya, mereka yang dipilih mesti mempunyai pengetahuan, pengalaman dan berkepakaran dalam urusan pilihan raya dan telah menunjukkan komitmen kepada reformasi pilihan raya.
Mandat dan kuasa Jawatankuasa
- Mandat jawatankuasa ini perlu memasukkan perkara berikut:
a. Menerima, menyemak dan membahaskan laporan tahunan daripada SPR termasuklah laporan khusus selepas Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Kecil.
b. Menerima, meneliti dan memeriksa laporan kewangan dan perbelanjaan SPR termasuklah selepas Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Kecil.
c. Melaksanakan siasatan berkaitan sebarang isu berkenaan pilihan raya apabila perlu dengan kuasa untuk mensapina saksi-saksi bagi memberikan keterangan dan bukti-bukti bagi isu yang dibangkitkan. Siasatan ini juga perlu dilakukan secara terbuka kepada orang umum dan disiarkan secara langsung di televisyen ataupun di laman web parlimen sebagaimana siaran perbahasan parlimen.
d. Menyemak sebarang undang-undang dan pindaan undang-undang berkenaan pilihan raya sebelum dibentangkan dan dibahaskan di dalam parlimen melalui proses libat urus untuk semua pihak yang berkepentingan, terutamanya parti-parti politik dan masyarakat madani.
e. Memberi cadangan-cadangan bagi reformasi sistem, amalan dan undang-undang pilihan raya.
f. Memanggil ahli yang berkepakaran daripada dalam ataupun luar negara bagi mendapatkan pandangan ketiga terhadap sesuatu isu berkaitan sistem, pelaksanaan dan undang-undang pilihan raya
Berdasar kepada struktur dan mandat yang dihuraikan di atas dan sebagai tugasan pertama, Bersih 2.0 mencadangkan PSC untuk Pilihan Raya untuk menjalankan siasatan terhadap persempadanan pilihan raya yang dilakukan dalam tempoh 2016-2018 oleh SPR sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
Bersih 2.0 sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Parlimen kerana telah membentuk PSC yang fundamental dalam perjalanan demokrasi dalam negara kita dan ini adalah satu perkara yang baik serta perlu dibentuk dengan serius, jujur dan dengan penuh integriti.
Diharapkan dengan terbentuknya PSC Pilihan Raya ini institusi parlimen serta institusi pilihan raya negara kita dapat diperkukuhkan serta dipertingkatkan kedudukannya selari dengan negara-negara maju seperti di UK dan Australia yang seringkali menjadi model pengurusan pilihan raya yang bebas, bersih dan adil.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0
Kredit imej : Portal Rasmi Parlimen Malaysia