Kenyataan Media Bersih 2.0 [7 November 2019] MEMANCING UNDI NELAYAN MENGGUNAKAN DANA KERAJAAN TIDAK MELANGGAR UNDANG-UNDANG NAMUN TETAP SALAH

Kenyataan Media Bersih 2.0

7 November 2019

MEMANCING UNDI NELAYAN MENGGUNAKAN DANA KERAJAAN TIDAK MELANGGAR UNDANG-UNDANG NAMUN TETAP SALAH

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) ingin melahirkan rasa kecewa kami dengan perlakuan kerajaan Pakatan Harapan yang menyalahgunakan sumber kerajaan semasa Pilihan Raya Kecil(PRK) Tanjung Piai. Laporan pemberian oleh kerajaan terkini dibuat oleh Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, yang mengumumkan hari ini seramai 1513 nelayan di selatan Johor, termasuk 544 nelayan daripada Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1,000 setiap seorang bermula minggu hadapan. Percubaan untuk memancing undi daripada nelayan tidak bertentangan dengan undang-undang sedia ada tetapi ianya jelas sekali tidak beretika untuk parti politik menggunakan duit pembayar cukai bagi memenangi pilihan raya. 

Kami menggesa kepada MB Johor untuk menunjukkan yang kerajaan PH mematuhi prinsip-prinsip pilihan raya bebas dan adil dengan menghentikan pemberian dan peruntukan kerajaan yang lain sehingga selepas PRK Tanjung Piai. Kami sedia maklum bahawa tugas kerajaan perlu terus berjalan semasa PRK namun untuk kawasan yang sedang dipertandingkan, sebarang pengumuman atau pemberian dan peruntukan perlu dihentikan sebaik sahaja kerusi tersebut diisytiharkan kosong atau diberikan selepas daripada berakhirnya PRK bagi memastikan padang permainan yang sama rata. 

 Selain daripada MB Johor, BERSIH 2.0 telah merekodkan beberapa laporan menteri kerajaan persekutuan mengumumkan peruntukan wang tunai semasa lawatan mereka ke Tanjung Piai, sebelum dan semasa tempoh berkempen. Menteri seperti Syed Saddiq, Rina Harun dan Salahuddin Ayub telah menjustifikasikan peruntukan tersebut dengan menafikan untuk memancing undi namun kemurahan hati mereka yang berkebetulan dengan PRK menjadikan alasan mereka sangat memalukan. 

BERSIH 2.0 sekali lagi menegaskan bahawa kami tidak mengatakan bahawa menteri-menteri ini telah melanggar undang-undang pilihan raya kerana undang-undang penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen masih belum digubal. Kami menggesa untuk semua penggubal undang-undang daripada semua parti untuk menyokong reformasi pilihan raya dan pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memastikan apabila tiba waktu pilihan raya, padang permainannya adalah sama rata.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

Kredit imej: New Straits Times