Kenyataan Media Bersih 2.0 [13 November 2019] Tarik Balik Peraturan Permit Polis Untuk Berkempen Rumah Ke Rumah

Tarik Balik Peraturan Permit Polis Untuk Berkempen Rumah Ke Rumah

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mempersoalkan peraturan yang ditetapkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia(PDRM) yang menetapkan keperluan untuk calon pilihan raya kecil(PRK) Parlimen Tanjung Piai memohon permit polis bagi tujuan berkempen dari rumah ke rumah. 

Kami menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku badan tertinggi pengurusan pilihan raya dalam negara kita untuk menolak cadangan peraturan ini kerana penetapan sebegini tidak berasas pada undang-undang, terlalu menghadkan kebebasan berkempen dan tidak menjadi amalan dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

Bersih 2.0 maklum bahawa pihak SPR diberikan kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk meminta bantuan oleh mana-mana pihak bagi membantu perjalanan sepanjang tempoh pilihan raya sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 115(2) Bantuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya:

“Apabila diminta oleh Suruhanjaya, semua pihak berkuasa awam hendaklah memberikan apa-apa bantuan sebagaimana yang dapat dilaksanakan kepada Suruhanjaya dalam menunaikan tugasnya;”

Pihak polis sendiri tidak boleh melampaui batasan yang ditetapkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 24B yang menetapkan bahawa calon hanya perlu meminta permit daripada pihak polis sekiranya ingin menganjurkan apa-apa perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan yang di dalamnya ada ucapan atau syarahan. 

Adalah tidak wajar untuk PDRM menetapkan peraturan yang tidak relevan malah seperti menghadkan kaedah kempen calon-calon pilihan raya, lebih-lebih lagi peraturan ini ditetapkan pada pertengahan  kempen sedang berjalan. Tempoh berkempen yang singkat dan keperluan memohon permit untuk berkempen dari rumah ke rumah adalah menyusahkan serta tidak adil kepada calon-calon yang sedang berkempen.

Berikutan dengan tiada perlunya permit polis untuk berhimpun di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, maka adalah tidak munasabah dengan cadangan perlunya permit polis untuk berkempen dari pintu ke pintu.

Malah Bersih 2.0 mencadangkan supaya peruntukan tentang perlunya permit polis untuk ceramah politik yang sedia ada di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dimansuhkan supaya selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Bersih 2.0 menggesa agar pihak PDRM dan SPR menarik balik peraturan tersebut dan memberikan kebebasan kepada calon-calon PRK Tanjung Piai berkempen dengan apa-apa kaedah yang mereka rasakan perlu selagi mereka berpegang kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta undang-undang lain yang berkaitan. 

Dikeluarkan oleh,

mej kredit : Harian Metro