Kenyataan Media Bersih 2.0[24 November 2019] PENYELESAIAN TUNTAS MASALAH ALAMAT DI MALAYSIA

Kenyataan Media Bersih 2.0

24 November 2019

PENYELESAIAN TUNTAS MASALAH ALAMAT DI MALAYSIA 

Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH 2.0) bersama Jawatankuasa Pembaharuan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya(ERC) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menganjurkan satu bengkel “Mewujudkan Sistem Pendaftaran Alamat Unik di Malaysia: Ke Arah Sistem Pendaftaran dan Pengurusan Alamat Moden” pada 25 dan 26 November di Kuala Lumpur. Ini adalah satu langkah penting bagi menyelesaikan isu pengurusan alamat yang dihadapi negara kita setelah sekian lama. 

Masalah dengan bagaimana kita menentukan alamat kepada hartanah di Malaysia adalah isu dengan piawaian(standardisation) penyusunan nombor, nama tempat, jalan, hartanah, bandar malah bagaimana kita mengejanya. Walaupun dengan kewujudan Standard Malaysia Untuk Alamat(MS2039:2006), kita masih jauh dalam mencapai tahap standard yang boleh diterimapakai. 

Kesannya daripada permasalahan ini adalah lebih jauh daripada sekadar masalah yang dihadapi oleh penyedia perkhidmatan penghantaran atau pos. Isu ini memberi kesan kepada keefisienan tatatadbir sector swasta dan awam serta keberkesanan penganalisa data. Alamat adalah data sepunya yang paling banyak dipohon oleh hampir keseluruhan penyedia perkhidmatan, daripada pendaftaran sebagai pemilih, rekod kesihatan, insurans, perbankan, pendaftaran telefon mobil, keahlian perpustakaan, perkhidmatan majlis kerajaan tempatan dan sebagainya. 

Dengan adanya format yang definitif untuk alamat dan pematuhan yang penuh kepada standard tidak semestinya akan membawa kepada keberkesanan dan keefisienan penghantaran perkhidmatan atau membantu penganalisa data. Apa yang kita perlukan adalah pengidentifikasi unik untuk setiap alamat dan tanah di Malaysia. Sebagaimana setiap buku mempunyai kod ISBN yang unik, setiap wargan mempunyai nombor Kad Pengenalan, setiap syarikat ada nombor pendaftaran, dan setiap domain internet ada nombor IP, kita perlu kod pengidentifikasi unik untuk setiap alamat hartanah di dalam negara. 

Identifikasi unik kepada setiap alamat, walaupun tanah yang belum terbangunkan, kilang, rumah atau flat akan mempunyai nombor unik kepadanya sepanjang kitaran-hayatnya daripada keizinan perancangan kepada pembinaan, penyiapan dan perobohan. 

Sebagai contoh, Bersih 2.0 dan badan pemantau pilihan raya yang lain telah menemui banyak kesalahan dan penipuan data dalam senarai daftar pemilih yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia(SPR). Banyak isu-isu berbangkit daripada bagaimana alamat-alamat pemilih yang layak dikutip dan dimasukkan oleh SPR. SPR bergantung kepada Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) yang mengeluarkan MyKad kepada warga. JPN bergantung kepada orang ramai untuk memberikan alamat yang betul tanpa sebarang bukti dokumen kediaman sehinggalah 1 May 2019. 

Disebabkan kekaburan dalam banyak alamat, tugas memberikan lokaliti kepada pengundi oleh staf SPR telah menyebabkan kesalahan kemasukan yang mengakibatkan lokaliti yang pelik. Sebagai contoh, suami dan isteri hidup di bawah rumah dan katil yang sama tetapi diberikan kawasan pilihan raya yang berbeza untuk mengundi. Sesetengah alamat adalah nombor plot yang besar, sebahagian lagi hanya ada nama jalan dan nama kampung, bahkan ada yang hanya ada nombor tiang elektrik. 

Kebimbangan yang besar juga adalah ketidakmampuan kita mengenalpasti kesahihan alamat, sama ada hartanah itu wujud atau tidak ataupun adakah dikategorikan dengan tepat sebagaimana permohonan yang dibuat, contohnya adakah bangunan tersebut pernah dirobohkan atau pernah dibini sebelum ini. Penipuan pendaftaran pengund di alamat yang tidak wujud dan pemadatan bilangan pengundi yang besar ke dalam satu alamat menjadi lazim dan sehingga senarai daftar pemilih diaudit, penipuan-penipuan tersebut akan terus tidak dapat dikesan. Ketiadaan penidentifikasi unik untuk alamat menjejaskan integriti data di mana lokasi tepat seseorang adalah kritikal untuk menentukan kelayakan mereka mengundi dan perkhidmatan yang akan diberikan kepada mereka.

Bagi menerokai keperluan Malaysia untuk membina sistem pendaftaran yang serupa dengan “Unique Property Reference Number(UPRN)” UK, Bersih 2.0, ERC dan KPKT akan membawakan pakar daripada Australia dan UK, penyedia dan pengguna data sektor awam, pengguna alamat di sektor swasta, pakar ICT dan kumpulan masyarakat sivil yang bergantung kepada pengurusan alamat yang baik untuk melaksanakan tugasan harian mereka di dalam bengkel ini. Menjadi niat murni kami agar pertukaran pandangan dalam bengkel ini akan menggerakkan kerajaan dan agensi utama untuk menjadikan sistem pendaftaran ini satu realiti sekaligus menyelesaikan masalah alamat dalam negara kita. 

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0