Kenyataan Media Bersih 2.0 [29 November 2019] PRK TANJUNG PIAI: PILIHAN RAYA DICEMARI SALAH GUNA SUMBER KERAJAAN DAN SEKATAN POLIS

Kenyataan Media Bersih 2.0

29 November 2019

PRK TANJUNG PIAI: PILIHAN RAYA DICEMARI SALAH GUNA SUMBER KERAJAAN DAN SEKATAN POLIS

Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih(Bersih 2.0) telah mengeluarkan laporan pemerhatian di Pilihan Raya Kecil(PRK) Tanjung Piai hari ini. Bersih 2.0 telah menghantar lima orang pemerhati untuk memantau PRK tersebut dan telah merekodkan 21 kes kesalahan pilihan raya dan 10 kes salahlaku sejak kerusi parlimen Tanjung Piai dikosongkan. 21 kes kesalahan pilihan raya mengandungi tiga kes penjamuan dan pemberian semasa tempoh berkempen dan 18 kes melanggar tegahan berkempen semasa hari pengundian. 

Kami ingin menonjolkan 10 kes salah laku, yang menyaksikan peningkatan amalan penyalahgunaan sumber kerajaan untuk berkempen. Semua kes adalah melibatkan Menteri Persekutuan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Menteri Besar Johor yang mengumumkan projek pembangunan dan peruntukan baharu kepada rakyat di Tanjung Piai. Jumlah peruntukan yang diumumkan adalah berjumlah RM23.93 juta.

Walaupun kami maklum bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri di Johor perlu meneruskan operasi mereka semasa PRK, namun menggunakan sumber negeri untuk mendapatkan sokongan daripada calon parti pemerintah adalah tindakan tidak beretika. Kerajaan PH perlu mematuhi prinsip-prinsip pilihan raya bersih dan adil dengan menahan pengumuman projek baharu atau peruntukan baharu semasa piliha raya kecil. Perlu ada satu garis pemisah antara kefungsian kerajaan dan aktiviti parti.

Kekalahan calon PH dalam PRK tersebut juga jelas menunjukkan pemberian sedemikian tidak lagi berkesan untuk memenangi hati dan undi pengundi. Pemimpin parti politik, tidak kira siapapun yang menjadi kerajaan perlu mempunyai etika yang tinggi dalam berkempen dan berhenti memandang rendah kebijaksanaan pengundi dengan pemberian duit serta material. 

Memandangkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tidak mempunyai peruntukan berkenaan penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen, kami menggesa penggubal undang-undang untuk menyokong reformasi pilihan raya dan meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memastikan padang yang sama rata antara semua calon pilihan raya.

Sebagai tambahan, kami mengutuk halangan yang tidak berdasarkan undang-undang yang dilaksanakan oleh polis berkenaan perlunya mendapatkan permit bagi kempen pintu ke pintu. Halangan sebegitu tidak mempunyai asas undang-undang dan menghalang kebebasan untuk berkempen.

Bersih 2.0 menggesa polis untuk menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak mengenakan peraturan yang tidak berasas bagi menghadkan kaedah berkempen. Kami ingin mengingatkan polis, SPR serta semua parti bahawa apabila tiba masa pilihan raya, SPR diberikan mandat oleh perlembagaan untuk menguruskan pilihan raya dan bukannya polis. Melainkan ada masalah dengan keselamatan atau ketenteraman awam, kebebasan berkempen adalah elemen utama untuk pilihan raya bersih dan adil.

Dikeluarkan oleh,

Jawatakuasa Pemandu Bersih 2.0