Kenyataan Media dari Bersih 2.0 [31 Disember 2019] BELASUNGKAWA KEPADA RAKAN BERSIH 2.0 YANG TELAH PERGI PADA TAHUN 2019

Kenyataan Media dari Bersih 2.0

Tarikh: 31 Disember 2019

BELASUNGKAWA KEPADA RAKAN BERSIH 2.0 YANG TELAH PERGI PADA TAHUN 2019

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ingin memberi penghormatan kepada beberapa orang rakan yang telah dijemput Ilahi pada tahun 2019 yang telah menyumbang kepada pergerakan kami, sama ada sebagai pemimpin, penyokong dan menjadi sukarelawan sepanjang perjalanan Bersih dan sumbangan mereka akan sentiasa segar dalam ingatan. Bersih berada di tahap ini adalah disebabkan oleh sumbangan dan sokongan rakyat Malaysia yang tidak berbelah bahagi dengan cara mereka sendiri untuk pilihan raya bersih dan adil serta demi negara yang lebih demokratik. Mereka mungkin telah meninggalkan kita namun kita masih terinspirasi oleh legasi khidmat mereka kepada kami. 

 

  1. ONG LAI MUN, 38 tahun.

Lai Mun pernah berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Bersih 2.0 bagi Selatan Semenanjung dari 2015-2018 dan memainkan peranan penting menyediakan platform laman web untuk pemantauan pilihan raya bagi program Pemantau kami semasa pilihan raya umum yang lalu. Sebagai salah seorang pengasas ENGAGE, sebuah NGO yang aktif dalam isu-isu pilihan raya dan hak asasi manusia, beliau juga memainkan peranan penting dalam penganjuran ‘Freedom Film Festival’ di Johor, dan terima kasih kepada kepimpinan beliau, satu pasukan yang aktif telah bukan sahaja menganjurkan tayangan hak asasi manusia di Johor Bahru dan Muar, turut dibawa masuk ke sekolah-sekolah. Lai Mun telah didiagnos dengan barah paru-paru tahap 4 di penghujung tahun 2017 namun beliau tetap melawannya sehingga ke akhirnya dan meninggalkan kita pada 10 November 2019. Sikap “boleh-buat” dan suka memberi galakan akan dirindui oleh semua yang pernah bekerja dengan beliau. Lai Mun adalah jurutera eletrik dan pakar di dalam perlindungan bangunan daripada kilat.

 

  1. POW KIEW AN, 45 tahun 

Berazam untuk menyertai himpunan Bersih 2 pada 2011, namun menghadapi kemungkinan keganasan pihak polis dan perkauman, Kiew An menulis surat perpisahan kepada isteri tercinta dan anak perempuannya yang terlalu muda untuk memahami demokrasi dan kebebasan, bahawa beliau merasakan menjadi tugas beliau untuk memperjuangkan negara yang lebih baik. Beliau juga telah membuat perancangan kewangan bagi memastikan keluarganya terjaga sekiranya sesuatu yang tidak diingini terjadi. Beliau adalah pemimpin utama pergerakan Pendidikan Pilihan Raya Bunga Matahari(Sunflower Electoral Education-SEED) dan penyokong Mama Bersih, kedua-duanya menjuarai isu reformasi pilihan raya. Menghadapi PRU13, beliau memobilisasi sumber bagi surat berita alternatif bagi mempromosikan perlindungan alam sekitar, hak asasi dan demokrasi, Akhbar Sunflower, untuk dicetak dan diedarkan ke seluruh negara bagi memecahkan kawalan media oleh Barisan Nasional(BN). Selain kerja-kerja melibatkan Bersih, Kiew An juga telah mengutip dana dan memobilisasi sokongan kepada aktivis yang ditekan oleh sistem, termasuklah aktivis di Kelantan yang didakwa kerana mencabar salah guna kuasa polis dan 13 aktivis PAS yang didakwa serta dipenjarakan kerana menahan kereta istana semasa protes krisis Perak pada tahun 2009. Sedihnya beliau pergi meninggalkan kita pada 18 Oktober 2019 kerana serangan jantung. Kiew Ann meninggalkan seorang isteri, Careen dan tiga orang anak perempuan. 

 

  1. ANG HEAN LENG, 41 tahun.

Hean Leng adalah sebahagian daripada pasukan peguam pro-bono yang mempertahankan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 apabila pihak polis memfailkan saman sivil kepada Bersih 2.0 menuntut RM110,543 untuk kerugian dan kerosakan kepada kenderaan polis semasa himpunan Bersih 3 pada 2012. Terima kasih kepada hujahan pasukan peguam yang bernas dan meyakinkan, tuntutan pihak polis digugurkan oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Hean Leng secara peribadi mewakili Narasumber Bersih 2.0 Dr Wong Chin Huat yang memfailkan tuntutan balas terhadap serangan fizikal yang dialaminya semasa ditahan polis pada himpunan Bersih 3. Sekali lagi, mahkamah berpihak kepada Wong dan beliau diberikan RM15,000 bagi kerosakan dan RM30,000 untuk kos. Pada 2017, apabila pemimpin Bersih 2.0 dipanggil oleh polis bagi siasatan tuduhan penerimaan dana daripada George Soros yang tidak berasas, peguam daripada Lee Hishammuddin Allen dan Gledhill sekali lagi mewakili Wong. Selain menyokong perjuangan gerakan masyarakat sivil, Hean Leng juga adalah pensyarah separuh masa untuk Jurnalisme dan Undang-Undang dan Kajian Malaysia di Universiti Monash Malaysia dari 2010-2015 dan menjadi inspirasi mahasiswa di sana. Kita kehilangan beliau pada 22 Disember 2019 akibat barah paru-paru. 

  1. MOHD KHAIRUL IKMAL ARIS, 23 tahun.

Khairul Ikmal atau nama panggilannya Kimal atau Panjang, adalah aktivis muda di tempat asalnya iaitu di Sabah. Bersama rakan-rakan beliau telah memperjuangkan demokrasi, kebebasan dan pilihan raya adil dan bersih. Kimal secara aktif menawarkan diri semasa Bersih 5 pada tahun 2016 untuk mengumpulkan penunggang motorsikal bagi menyertai konvoi Bersih di daerah Sandakan. Beliau juga menjadi salah seorang sukarelawan keselamatan apabila himpunan Bersih diadakan di Taman Rimba Ujana Kota Kinabalu. Semangat dan kesungguhan beliau akan sangat dirindui. Kimal telah lemas semasa berenang di Sungai Mandalipau, Papar, Sabah pada 6 Oktober 2019. 

 

 

 

Bersih 2.0 sangat terhutang budi kepada mereka yang sangat mencintai tanah air ini sehingga ke tahap mereka sanggup berhadapan kesukaran, merisikokan kebebasan, pendapatan malah reputasi mereka untuk berjuang bagi Malaysia yang lebih baik. Apakah Bersih 2.0 akan menjadi seperti hari ini jika tidak disebabkan oleh ribuan rakyat Malaysia seperti Lai Mun, Kiew An, Hean Leng dan Kimal yang sanggup dan selalunya secara senyap memberikan masa, sumber dan diri sendiri untuk berkhidmat kepada masyarakat, perhimpunan dan kempen di sepanjang perjalanan ini. Terima kasih kepada mereka dan ramai lagi yang  tidak dapat dirakamkan dalam belasungkawa ini, kita menyaksikan pertukaran kerajaan pada tahun 2018. Kerja-kerja reformasi pilihan raya adalah jauh daripada selesa dan kami akan terus mendesak untuk mengukuhkan institusi pilihan raya dan demokrasi bagi pihak rakan-rakan kita yang telah pergi lebih awal. 

Satukan Tenaga, Malaysia Baru!

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0