Kenyataan Media [8 Januari 2020] Parti Pembangkang Perlu Sokong Pindaan Undang-Undang Untuk Beri Kuasa Kepada SPR

Kenyataan Media dari Bersih 2.0

Tarikh : 8 Januari 2020

PARTI PEMBANGKANG PERLU SOKONG PINDAAN UNDANG-UNDANG UNTUK BERI KUASA KEPADA SPR

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) mengalu-alukan saranan Timbalan Presiden PAS agar pihak SPR dapat mengawasi dan menguatkuasakan undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya. Malah ini adalah seruan dan gesaan Bersih 2.0 selama ini namun kita juga perlu maklum bahawa berdasarkan undang-undang yang ada sekarang, kuasa SPR adalah terhad. 

Berdasarkan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR hanya berkuasa untuk menjalankan dan menguruskan urusan pilihan raya seperti mendaftarkan dan menyediakan daftar pemilih, menjalankan pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, dan mengkaji semula persempadanan pilihan raya. SPR terpaksa bergantung kepada pihak Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia(SKMM) untuk menyiasat kesalahan-kesalahan pilihan raya sekiranya terdapat aduan berkenaan perkara tersebut. 

Justeru, Bersih 2.0 mengajak semua pihak termasuk parti pembangkang untuk menyokong pindaan undang-undang yang dapat memberikan kuasa perundangan kepada SPR bagi menjalankan siasatan terhadap aduan-aduan berkenaan kesalahan pilihan raya serta kuasa mengajukan kes-kes kepada pendakwaraya untuk membuat pendakwaan terhadap pelaku yang terlibat sekiranya mereka benar-benar serius ingin melihat penguatkuasaan undang-undang berkenaan kesalahan pilihan raya dalam negara kita.

Pihak pembangkang juga perlu menyokong pindaan undang-undang untuk menjadikan SPR sebuah badan yang bebas, termasuk proses pelantikan ahli-ahli suruhanjaya yang telus dan bebas bagi memastikan SPR mandiri serta tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Pelantikan jawatan bagi institusi awam utama seperti SPR wajib melalui suatu jawatankuasa pelantikan yang akan menerima pencalonan daripada semua pihak berkepentingan termasuklah daripada orang awam dan seterusnya jawatankuasa tersebut akan menyenarai pendek pencalonan. Calon-calon yang disenarai pendekkan ini kemudiannya diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memilih calon yang mendapat keyakinan awam sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri yang akan memberi nasihat kepada Yang Dipertuan Agong untuk membuat pelantikan. Proses ini perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada undang-undang agar proses pelantikan tersebut menjadi lebih telus dan berperlembagaan.

Bersih 2.0 menyeru pihak pembangkang untuk menyokong perkara yang dinyatakan serta pindaan yang dapat memperkukuhkan integriti institusi awam utama seperti SPR. Pengukuhan institusi seperti SPR dapat menjamin ketelusan dalam sistem serta menguatkan lagi demokrasi dalam negara kita. 

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

Kredit imej : Sinar Harian