Kenyataan Media dari Bersih 2.0 [14 Januari 2020] Umumkan Laporan Interim ERC dan Mulakan Libat Urus Awam

Kenyataan Media dari Bersih 2.0

Tarikh : 14 Januari 2020

UMUMKAN LAPORAN  INTERIM ERC DAN MULAKAN LIBAT URUS AWAM

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalu-alukan penyerahan rasmi laporan interim Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya  (ERC) kepada Perdana Menteri semalam. Laporan interim berkenaan mengandungi 49 cadangan mengenai pembaharuan sistem pilihan raya, yang bermula dari pembaharuan badan pengurusan pilihan raya, pembiayaan politik, menukar sistem majoriti mudah (First-Past The Post), proses persempadanan semula, integriti daftar pemilih, akses kepada media yang adil dan saksama dan lain-lain, kesemuanya amat penting kepada orang ramai kerana kesemuanya akan mempengaruhi hak mereka kepada pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

Kami menyeru kepada Perdana Menteri untuk mengumumkan laporan interim ERC bagi membolehkan semua pemegang taruh mempunyai peluang untuk memberikan input dan komen mereka sebelum penyerahan laporan akhir ERC, yang dijadualkan pada bulan Ogos 2020.

Kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada ERC kerana telah mengendalikan 21 bengkel libat urus awam di seluruh negara sebelum  menyediakan laporan interim. Kami menyeru kepada ERC untuk menggunakan laporan interim ini dan memulakan libat urus awam untuk peringkat yang kedua dari sekarang sehingga Ogos 2020 dengan semua pemegang taruh, termasuk dengan parti-parti politik dari kerajaan dan pembangkang,  pertubuhan masyarakat sivil, ahli akademik dan orang awam sebelum memuktamadkan laporan. Proses penglibatan awam tanpa pendedahan penuh kepada laporan interim ini tidak akan berkesan, bermakna dan demokratik. Ia akan mewujudkan kesangsian yang tidak perlu dan memesongkan proses pembaharuan.

Pilihan raya adalah salah satu asas utama demokrasi untuk sesebuah negara dan ianya akan menentukan legitimasi sesebuah kerajaan yang dipilih. Dalam usaha untuk merealisasikan proses pembaharuan pilihan berjaya, proses ini haruslah telus dan disertai oleh penglibatan orang awam. Ini akan memastikan cadangan yang dibuat oleh ERC diterima oleh kerajaan dan mendapat sokongan daripada pihak pemegang taruh dan juga akan menerima sokongan dari parti politik kerajaan dan pembangkang dalam Parlimen.

Laporan interim ERC tidak sepatutnya mengalami nasib yang sama dengan laporan Majlis Penasihat Kerajaan atau laporan mengenai pembaharuan institusi yang dikemukakan kepada kerajaan. Kami bersama masyarakat sivil menggesakan pengumuman kedua-dua laporan tersebut, pada masa yang sama kami juga menggesa kerajaan mengambil peluang ini untuk mengumumkan laporan interim ERC bagi menghentikan budaya merahsiakan daripada orang awam . Ini tidak seharusnya menjadi ciri-ciri Malaysia baru yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan.

Dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan telah berjanji untuk memastikan ketelusan dan keteguhan sistem pilihan raya kita. Ini adalah masanya untuk Pakatan Harapan menepati janji dan mengumumkan laporan interim ERC kepada orang awam tanpa sebarang penangguhan lagi.

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

Kredit imej : RTM