Kenyataan Media dari Bersih 2.0
21 Januari 2020
TESTIMONI KU NAN MENUNJUKKAN KEPERLUAN KEPADA REFORMASI PENDANAAN DAN PERBELANJAAN POLITIK
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merujuk kepada testimoni Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor di Mahkamah Tinggi yang mendedahkan bagaimana UMNO mengutip sumbangan untuk kempen pilihan raya melalui sumbangan politik.
Kami tidak mengatakan bahawa testimoninya akan melepaskan beliau daripada tuduhan rasuah, ianya menunjukkan bagaimana jumlah wang yang sebegitu besar dikutip dan dibelanjakan untuk pilihan raya.
Pada masa ini, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) kini hanya mengawal perbelanjaan kempen oleh calon pada masa kempen pilihan raya sahaja. Perbelanjaan oleh parti politik dan lain-lain, termasuklah untuk faedah calon sebahagian besarnya tidak dikawal. Sebagai tambahan, tidak ada peraturan untuk derma politik kepada parti politik dan calon.
Pendanaan politik yang tidak dikawal bukan sahaja akan membuka ruang untuk rasuah dan pengaruh tidak wajar oleh pihak berkepentingan bahkan ianya akan merendahkan keyakinan umum terhadap integriti pilihan raya.
Untuk menyediakan padang yang sama rata kepada pertandingan politik dan mengurangkan pengaruh politik wang, AKPR wajib dipinda dan undang-undang pendanaan politik mesti digubal untuk mengawal dua teras utama untuk pendanaan politik, iaitu sumber dan perbelanjaan dana tersebut.
Bagi sumber dana, sumbangan kepada parti politik dan calon, berbentuk wang dan yang serupa dengannya yang melebihi RM1,000 perlu diisytiharkan. Kawalan tersebut perlu berjalan untuk setiap masa dan untuk semua jenis sumbangan termasuk daripada individu dan korporat, serta dari dalam atau luar negeri. Walaubagaimanapun, syarikat berkaitan kerajaan(GLC) sebagai penjaga wang rakyat perlu dihalang daripada memberi sumbangan kepada parti politik atau terlibat dengan aktiviti politik.
Pembiayaan awam kepada parti politik juga perlu diperkenalkan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber persendirian, terutamanya golongan berkepentingan daripada orang kaya dan korporat.
Bagi perbelanjaan dana pula, had perbelanjaan kempen RM100,000 untuk calon ADUN dan RM200,000 untuk calon parlimen perlu ditingkatkan kepada jumlah yang lebih realistik. Kami mencadangkan untuk perbelanjaan kempen dinaikkan ke RM 500,000 dan RM1,000,000. Peraturan ini juga perlu meliputi perbelanjaan oleh parti politik dan pihak ketiga.
Semua calon perlu menghantar laporan perbelanjaan dan pendapatan semasa kempen pilihan raya dengan dokumen sokongan, dan ini perlu diaudit serta dipamerkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) untuk disemak oleh orang ramai bagi meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban. Reformasi pendanaan politik juga perlu seiiring dengan reformasi SPR untuk memastikan mereka mempunyai kuasa bagi menguatkuasakan undang-undang pilihan raya.
Kami menggesa kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik secepat mungkin dan mengumumkan rang undang-undang kepada orang ramai agar semua pihak berkepentingan dapat memberikan pandangan serta cadangan semasa sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Khas Parlimen.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0
Kredit imej : The Star