Kenyataan Media Bersih 2.0 [5 Februari 2020] Jalan Hadapan Ke Arah Demokrasi Penuh

Kenyataan Media Bersih 2.0

5 Februari 2020

JALAN HADAPAN KE ARAH  DEMOKRASI PENUH

Unit Perisikan The Economists telah mengeluarkan laporan Indeks Demokrasi 2019 untuk 167 buah negara di seluruh dunia. Indeks Demokrasi tersebut dibuat berdasarkan kepada penilaian lima kategori utama iaitu; proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi kerajaan, penyertaan politik, budaya politik dan kebebasan sivil. Markah tertinggi Malaysia adalah bagi kategori Proses Pilihan Raya dan Pluralisme dengan markah 9.17/10 manakala markah terendah adalah Kebebasan Sivil iaitu 5.88/10. Malaysia mendapat 7.86 untuk Fungsi Kerajaan, 6.67 untuk Penyertaan Politik dan 6.25 untuk Budaya Politik. 

Dalam laporan tersebut, Malaysia telah mendapat tempat ke 43, naik 9 anak tangga daripada tempat ke 52 pada tahun lepas. Di peringkat Asia, Malaysia berada di tangga ke 7, mendahului negara-negara lain seperti Filipina, India, Singapura dan Indonesia. Walaupun ada peningkatan namun Malaysia masih dikategorikan sebagai negara “Demokrasi Tempang” atau “Flawed Demokrasi”. Ini adalah satu pencapaian yang semakin baik oleh Malaysia disebalik kemunduran demokrasi di peringkat Asia malah di peringkat global sekalipun. 

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat, Suruhan Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Malaysia di atas peningkatan markah tertinggi dalam kategori Proses Pilihan Raya. Ini adalah satu petanda positif yang menunjukkan Malaysia sedang bergerak maju untuk mencapai proses pilihan raya yang bersih dan adil. Namun, Bersih juga ingin mengingatkan bahawa masih banyak yang perlu kita buat untuk mencapai status negara “Demokrasi Penuh”. Berikut adalah gesaan daripada kami: 

 

  1. REFORMASI INSITUSI-Dalam rangka untuk mencapai demokrasi penuh, antara perkara pokok yang perlu dilakukan adalah mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi utama kerajaan seperti badan pengurus pilihan raya, badan pencegah rasuah, polis, kehakiman dan sudah tentu parlimen yang menjadi tempat untuk merangka undang-undang serta polisi negara.  Bersih 2.0 sekali lagi ingin mengingatkan bahawa kerajaan perlu memastikan proses pelantikan jawatan-jawatan utama seperti SPR, SPRM, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara dilakukan dengan secara telus, terbuka dan bukannya dilantik oleh Perdana Menteri semata-mata bagi mewujudkan semak dan imbang yang lebih baik kepada kerajaan. Selain itu, kerajaan juga perlu mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen agar parlimen bebas melantik pegawai mereka sendiri. Gerakan masyarakat sivil  masih lagi menantikan tindakan kerajaan supaya meminda undang-undang bagi menjadikan perkara ini satu realiti dalam era Malaysia Baharu ini.

 

  1. KEBEBASAN BERSUARA- Kerajaan PH perlu segerakan bagi memansuhkan akta-akta yang masih menyekat kebebasan bersuara seperti Akta Hasutan agar akta ini tidak digunakan sewenang-wenangnya bagi menekan kritikan rakyat terhadap kerajaan. Selain itu kerajaan di semua peringkat juga perlu menghormati kebebasan bersuara dengan tidak menyukarkan rakyat membuat himpunan aman. Di kesempatan ini kami juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana telah berjaya menarik semula “Akta Berita Palsu”. Tanpa akta ini pun sebenarnya kerajaan boleh menyekat berita-berita palsu dan mendakwa pihak yang menyebarkan berita tersebut dengan menggunakan akta yang sedia ada. 

 

  1. PILIHAN RAYA KERAJAAN TEMPATAN- Kerajaan PH perlu memperkenalkan semula pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan bagi merancakkan proses penyertaan rakyat dalam pembuatan polisi yang menguntungkan mereka. Pilihan raya kerajaan tempatan sebagai suara ketiga rakyat adalah sangat penting dalam proses demokrasi negara kerana kerajaan tempatan adalah institusi yang paling rapat dengan rakyat. Kerajaan Tempatan juga perlu diberi autonomi yang lebih banyak untuk merancang polisi yang memberi manfaat kepada rakyat. 

 

  1. KUASA PERDANA MENTERI- Kerajaan PH perlu mengurangkan pemusatan kuasa Eksekutif pada tangan Perdana Menteri(PM) bagi mengelakkan salah guna kuasa sebagaimana yang pernah terjadi dahulu semasa era Barisan Nasional. Had penggal Perdana Menteri juga perlu diperkenalkan untuk mengelakkan sesetengah ahli politik daripada memegang kuasa terlalu lama yang akan cenderung membuka kotak pandora salah guna kuasa serta rasuah bagi mengekalkan jawatan tersebut. Menghadkan jawatan PM juga akan menjadikan struktur kuasa yang lebih serata sekaligus boleh mewujudkan kestabilan politik negara. 

 

  1. PENYERTAAN POLITIK– Sehingga 2019, terdapat 33 wanita di parlimen persekutuan (14.9 peratus), dan hanya lima Menteri wanita (17.8 peratus) dalam kabinet.Transformasi hanya boleh berlaku dengan kemasukan dan kepimpinan wanita daripada pelbagai latar belakang di negara ini. Ini harus menjadi teras utama komitmen Malaysia terhadap kesamarataan gender, untuk mencerminkan kesamarataan ini dalam kabinet. Berdasarkan perangkaan itu, janji Pakatan Harapan mengenai 30 peratus perwakilan wanita di negeri dan kerajaan persekutuan belum dipenuhi. Sekali lagi, ini menunjukkan bahawa Malaysia “bertambah baik”, tetapi masih jauh perjalanan untuk mencapai kuota perwakilan yang bersesuaian. 

Peningkatan pencapaian demokrasi Malaysia sebagaimana yang dilaporkan menunjukkan bahawa negara kita sedang meningkat dan matang, namun kesemua ini tidak akan berjaya sekiranya tidak ada iltizam politik di peringkat kerajaan untuk memastikan reformasi-reformasi terutamanya reformasi insitusi dilaksanakan dengan segera. Bersih 2.0 juga berharap agar kerajaan, pembangkang dan seluruh rakyat Malaysia untuk bekerjasama agar negara kita menjadi negara “Demokrasi Penuh”.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

Kredit imej : Economist Intelligence Unit (EIU)