Kenyataan Media (25 Februari 2020): Tolak Kerajaan Perpaduan: Demokrasi adalah dengan Pertandingan Pelbagai Parti yang Sihat

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil risau dengan kenyataan media dari Pejabat Perdana Menteri hari ini bahawa PM Interim Tun Dr Mahathir akan mengadakan perjumpaan dengan semua pemimpin parti politik. Di sebalik krisis politik terkini, adakah PM sedang mempertimbangkan kerajaan perpaduan (UG) di mana semua parti utama akan berada dalam kerajaan?

Bersih 2.0 tidak bersetuju dengan kerajaan sebegitu kerana ianya bertentangan dengan semangat demokrasi. Demokrasi adalah berkenaan memberi peluang kepada parti politik yang berbeza ideolog untuk melawan sesama sendiri bagi mendapat hak untuk mentadbir dan melaksanakan polisi berdasarkan ideologi mereka. Untuk berbuat demikian mereka berusaha keras untuk memenangi undi dengan mengetahui sekiranya gagal mentadbir, mereka akan ditolak pada pilihan raya.

Membentuk kerajaan perpaduan juga bermakna tidak akan ada pembangkang kepada kerajaan. Tidak akan ada parti yang akan membuat semak dan imbang yang berkesan bagi mempertanggungjawabkan kerajaan. Rakyat juga tidak akan ada alternatif kepada siapa yang akan mewakili mereka.

Risiko kerajaan perpaduan adalah ianya boleh menjadi kleptokratik di mana semua parti menjalin tangan untuk memperkayakan diri sendiri dengan ditanggung oleh rakyat. Senario ini tidak boleh dibiarkan untuk berlaku.

Sekiranya Yang Dipertuan Agong(YDPA) masih belum dapat menentukan siapa yang mempunyai majoriti di parlimen dan gabungan mana yang boleh membentuk kerajaan, maka kami menggesa untuk baginda YDPA membubarkan Parlimen dan membiarkan rakyat memilih parti atau gabungan yang mereka mahukan sebagai kerajaan selama 5 tahun.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

(Kredit gambar: Bernama)