Kenyataan Media (27 Februari 2020): Adakah Pakatan Harapan Benar-Benar Hilang Majoriti di Johor?

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Johor bahawa gabungan baharu telah mengambil alih kerajaan Johor dengan 28 ADUN menyatakan sokongan kepada gabungan baharu sementara 26 ADUN memilih untuk bersama-sama Pakatan Harapan (PH). Di dalam dewan yang mempunyai 56 ADUN, ini bermaksud terdapat dua orang ADUN yang masih belum menyatakan sokongan mereka. 

Adalah dilaporkan bahawa dua ADUN tersebut adalah YB Salahuddin Ayub daripada AMANAH-PH dan YB Mazlan daripada PPBM. 

Kemungkinan sidang ADUN boleh tergantung dengan 28-28 sekiranya dua ADUN tersebut kekal bersama PH dan pengumuman kerajaan negeri yang baharu di persimpangan ini adalah pra-matang. 

Kami menggesa DYMM Sultan Johor untuk memperkenan ADUN-ADUN untuk memilih sendiri siapa yang akan membentuk kerajaan negeri di dalam sidang khas DUN, selari dengan bagaimana Dewan Rakyat akan memilih siapa Perdana Menteri seterusnya. 

Selari dengan seruan kami sejak permulaan krisis politik ini, kami menggesa semua ADUN PH yang meninggalkan PH untuk menyertai Barisan Nasional dan PAS dalam cubaan membentuk kerajaan baharu untuk meletakkan jawatan memandang mereka bertanding pada PRU14 di atas tiket PH. Gagal berbuat demikian akan dianggap satu pengkhianatan kepada pengundi yang mengundi mereka sebagai calon PH pada PRU lepas.  

 

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

 

(Kredit gambar: Property Guru)