Kenyataan Media (27 Februari 2020): Kembalikan Kepercayaan dan Damaikan Negara

Bersama-sama rakyat Malaysia, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) sangat berdukacita dengan krisis politik negara yang dicetuskan oleh beberapa politikus yang cuba mengambil alih kuasa. Hasilnya kerajaan Pakatan Harapan(PH) telah tumbang dan kita tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi.

Samada Tun atau Anwar atau sesiapa sahaja yang dilantik YDP Agong, ianya bukan waktu untuk bergembira atau saling menudung jari tetapi ianya adalah waktu bagi untuk muhasabah diri bagi semua yang terlibat dalam krisis ini. Tun Dr Mahathir secara terbuka telah meminta maaf kepada negara di atas krisis ini dalam ucapan beliau semalam. Sesiapa sahaja yang menjadi PM wajib meminta maaf kepada rakyat dan berikrar untuk mengembalikan kestabilan serta keyakinan rakyat.

PM dan kerajaan baharu mesti menetapkan nada untuk perdamaian, bukan sahaja sesama parti politik dan politikusnya, namun dengan rakyat juga. Perpecahan politik dalam kalangan rakyat biasa dilihat daripada kaca mata perkauman dan kebencian sesetengah daripada kita telah sampai ke tahap yang berbahaya. Sebagai PM semua rakyat Malaysia, PM mesti menunjukkan teladan kepimpinan yang baik dan mengambil kira kesemua pesaingnya, termasuk mereka yang melukakan hatinya. Ini bukan masanya untuk melepaskan dendam kesumat politik tetapi untuk rekonsiliasi nasional.

Pergelutan kuasa sebegini telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap demokrasi dan sistem politik kita. Seharusnya kini adalah masanya untuk kembali menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi di sebalik cabaran global dan ancaman virus COVID-19. Cubaan pertukaran di pertengahan penggal ini tidak lain hanyalah satu cubaan kudeta oleh elit politik yang pentingkan diri sendiri dengan menjadikan negara sebagai taruhan dan wajib dikutuk sekeras-kerasnya serta tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang lumrah.

Untuk menerimanya sebagai proses normal dengan sistem kerajaan ala Westminster hanya akan menggalakkan politikus sentiasa membuat perancangan jahat untuk mencantas satu sama lain demi kuasa daripada menumpukan peranan mereka sebagai kerajaan ataupun pembangkang. Keyakinan terhadap proses pilihan raya dan demokrasi juga akan terhakis disebabkan mengapa harus mengundi parti atau gabungan jika ianya boleh berubah pada pertengahan penggal?Kepercayaan rakyat telah dileburkan dan dikhianati.

Seandainya kebuntuan ini tidak dirungkaikan secepatnya, dengan tidak ada seorang pun yang mendapat majoriti di Dewan Rakyat, maka kami menggesa agar PM Interim memohon kepada YDP Agong untuk membubarkan Parlimen ke-14 dan kembali kepada rakyat untuk memberi mandat baru kepada kerajaan pilihan mereka.

Kini bukanlah masa yang sesuai untuk pilihan raya mengejut memandangkan fakta bahawa adanya kerosakan struktur yang teruk terhadap pembahagian dan gerrymandering daripada PRU14 yang bukan sahaja berada dalam sempadan pilihan raya kita malah ianya membarah dengan semakin ketara. Isu lain adalah penurunan had mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik masih belum dilaksanakan, dan pilihan raya ini akan mengetepikan hampir 5 juta pemilih yang berpotensi. Namun sebagai negara kita tidak mampu untuk mempunyai kerajaan yang tidak berfungsi apabila kita sedang menghadapi cabaran ribut ekonomi dan pilihan raya mengejut adalah mudarat yang lebih kecil.

Sementara itu, kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk berusaha sedaya upaya bagi memelihara keharmonian antara kaum di persimpangan getir negara kini. Tidak kira seberapa besarnya perbezaan politik kita, kita masih anak Malaysia dan satu keluarga. Kita mesti terus kekal berhati-hati sekiranya terdapat pihak yang ingin mengambil kesempatan dengan membiarkan negara ini di dalam keadaan membara.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0