Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sekali lagi ingin menyatakan penolakan kami kepada cadangan Tun Dr Mahathir yang ingin membentuk kerajaan perpaduan yang akan mengetepikan politik kepartian dan melantik yang terbaik dari semua parti ke dalam kabinet sekiranya beliau diberikan peluang sekali lagi menjadi PM. Kerajaan perpaduan sedemikian yang mempunyai ahli daripada semua parti akan menafikan mandat yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, dan dengan ini kami menyeru semua rakyat untuk menolak kerajaan sedemikian.
Walaupun motivasi cadangan tersebut mungkin baik melihatkan krisis politik dan ekonomi negara, Bersih 2.0 dalam kenyataan media 25 Februari jelas menolak cadangan sedemikian kerana ianya akan memberikan kuasa diktator kepada PM dengan tanpa pertanggungjawaban.
Walaubagaimanapun semangat keadilan dan penyesuaian antara bahkan antara musuh politik seharusnya dipupuk untuk kesejahteraan negara, dan bagi memastikan pelantikan yang bertanggungjawab, kabinet baharu perlu dibuat berdasarkan merit hanya daripada komponen parti kerajaan.
Parti Pembangkang seharusnya memainkan peranan penting untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab dan mendesak polisi serta reformasi yang akan mengukuhkan institusi negara kita dan membawa kemakmuran kepada semua. Parti pembangkang yang tidak bersetuju dengan agenda parti pemerintah atau ingin mengekalkan kebebasan mereka masih dapat menyumbang kepada kestabilan dengan komitmen mereka untuk menyokong kerajaan dengan undi percaya dan belanjawan (perbekalan tambahan).
Walauapapun kepimpinan dan komposisi kerajaan seterusnya, mereka harus memastikan sistem politik kita direformasikan untuk menyingkirkan sebab kebuntuan politik ini: iaitu sifat kalah jadi arang dalam sistem politik kita yang menyebabkan politikus berbunuhan sesama sendiri.
Menyingkirkan atau mengetepikan parti politik bukan penyelesaian kebuntuan politik ini. Penyelesainnya adalah memperbaiki sistem politik bagi membolehkan parti politik bertanggungjawab. PRU15 perlu dilawan dengan reformasi kuasa dan had penggal Perdana Menteri dan Menteri Besar/Ketua Menteri, kuasa parlimen dan dewan undangan negeri, pembahagian kuasa antara persekutuan dan negeri, dan sistem pilihan raya yang membenarkan rakan gabungan bertanding sesama sendiri sekiranya mereka mahukannya.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0