Kenyataan Media (29 Februari 2020): Bersih 2.0 Menyokong Kerajaan PH untuk Meneruskan Mandat dan Mengkotakan Manisfesto

Bersih 2.0 menegaskan bahawa mandat Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 mesti dihormati dalam pembentukkan kerajaan untuk baki penggalnya.

Dibekalkan dua pilihan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad (TDM) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Bersih 2.0 menyokong satu kerajaan yang diketuai oleh TDM atas ekspektasi-ekspektasi seperti berikut:-

Pertama, ia mesti merupakan sebuah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berasaskan manifesto Buku Harapan, kerana ini adalah mandat Rakyat dalam PRU14. Ia boleh juga merupakan kerajaan PH++ dengan ahli-ahli baru – parti atau ahli parlimen – atas syarat bahawa mereka mesti menyatakan iltizam kepada Buku Harapan.

Kedua, kemelut politik semenjak 23hb Februari adalah disebabkan oleh kekaburan dalam pelan peralihan kuasa. Masalah ini mesti dielakkan dengan adanya satu pelan peralihan kuasa yang jelas. Tempoh TDM sebagai Perdana Menteri seharusnya berakhir pada bulan November 2020, sekurang-kurangnya dua minggu selepas sidang kemuncak APEC. Untuk meminimakan ketidaktentuan, calon yang menggantikan beliau harus dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan calon itu ialah Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Ke-8 seperti yang dijanjikan oleh PH dalam PRU14, atau mana-mana calon lain yang dipersetujui oleh Majlis Presiden PH.

Ketiga, politik parti yang bertanggungjawab dan sihat  mestilah dipupuk melalui reformasi bermakna dalam sistem pilihan raya dan sistem politik yang lebih luas, supaya akan ada had penggal bagi Perdana Menteri dan pencairan (deconcentration) kuasanya, pemerkasaan Dewan Rakyat, gelangang permainan yang rata untuk kesemua parti politik untuk bertanding dalam PRU15 – dengan persediaan untuk parti-parti dalam kerajaan ini bersaing sesama lain,  serta langkah-langkah untuk memupuk kebolehtahanan (viability) kerajaan dan mencegah gejela lompat parti.

Akhirnya, dan yang paling penting adalah bahawa kerajaan PH yang diatur semula ini mesti mengakui kelemahan-kelemahan dalam melaksanakan agenda refomasi dalam 21 bulan yang lalu, dan menumpu pada tiga aspek, iaitu:-

  • Menjaga ekonomi apabila negara diancam wabak Covid-19 dan menghadapi perang dagang Amerika Syarikat-China dan melegakan kesusahan yang dialami oleh Rakyat, terutamanya golongan terpinggir.
  • Mendalamkan refomasi institusi untuk memajukan kedaulatan undang-undang (rule of law), pentadbiran yang baik dan hak asasi manusia.
  • Memperbaiki hubungan antara ethnik dan agama dengan mengurangkan kegelisahan dan kegusahan yang dirasai oleh Melayu-Muslim dan juga komuniti-komuniti lain di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0