Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk siasatan terhadap aktivis-aktivis yang terlibat dalam perhimpunan di Dataran Merdeka pada 25 dan 29 Februari 2020.
Aktivis Fadiah Nadwa Fikri akan disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada ham 11 pagi, 3 Mac 2020, dan akan disiasat sekali lagi bersama aktivis Azura Nasron, Sivarajan Arumugam, Wong Yan Ke dan Liew Liang Hong di bawah Akta Perhimpunan Aman di IPD Dang Wangi pada jam 11 pagi, 4 Mac 2020.
Sekali lagi, polis bagi pihak kerajaan telah memutuskan untuk menutup mulut pembantah dengan menggunakan undang-undang drakonian. Aktivis tersebut dipanggil untuk siasatan sejurus selepas Perdana Menteri baru mengangkat sumpah.
Telah banyak yang disebutkan terhadap ciri-ciri yang tidak demokratik di dalam Akta Hasutan dan sesetengah peruntukkan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Perhimpunan Aman. Akta-akta ini seringkali digunakan untuk menutup suara pembantah sejak zaman BN dan gagal dimansuhkan di bawah Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin semasa pemerintahan PH. Pendirian kami tetap sama bahawa akta-akta ini perlu dimansuhkan.
Kami menggesa pihak polis untuk menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman serta memberhentikan sebarang siasatan terhadap aktivis-aktivis tersebut dengan segera. Intimidasi seperti ini tidak akan membungkam suara rakyat melainkan hanya akan memarakkan kebangkitan rakyat.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0