Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa satu sidang khas Parlimen bagi memuktamadkan persoalan sama ada PM Muhyiddin Yassin yang baharu mengangkat sumpah mempunyai sokongan majoriti di Parlimen. Adalah sangat penting krisis politik dengan ketidaktentuannya diselesaikan secepat yang mungkin.
Bagi rakyat, sidang khas Parlimen akan mendedahkan dengan jelas bagaimana pengundian ahli parlimen (MP) dan sama ada ianya masih selari dengan harapan mereka semasa mereka mengundi di PRU14. Pengundilah yang meletakkan mereka di Dewan Rakyat dan mereka mempunyai hak untuk melihat sendiri di mana MP mereka akan berpihak. Bersih 2.0 menggesa rakyat untuk berhubung dengan MP mereka bagi mengetahui siapa yang akan mereka pilih dalam undi percaya di Parlimen.
Sekiranya sidang khas parlimen tidak dipanggil, maka undi percaya perlu diusul sesegera mungkin apabila sidang seterusnya berlangsung pada 9 Mac 2020.
Sekiranya Muhyiddin Yassin kalah dalam undi percaya, beliau harus meletak jawatan dan YDPA mempunyai prerogatif untuk melantik orang lain yang mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan atau membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum.
Bersih 2.0 mengulangi pendirian kami menentang sebarang bentuk kerajaan pintu belakang dalam PRU14 tetapi sehingga undi percaya dibuat, ketidaktentuan ini akan berterusan dan memanjangkan krisis tersebut.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0
(kredit gambar: CEphoto, Uwe Aranas)