Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengecam kenyataan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang menggesa supaya Pengerusi SPR sekarang iaitu Datuk Azhar Azizan Harun dan Ahli Suruhanjaya yang lain meletakkan jawatan kerana adanya perubahan kerajaan sekarang. Cadangan beliau agar SPR meletakkan jawatan bersama-sama dengan Perdana Menteri bukan sahaja serangan kepada integriti SPR, tetapi ianya juga serangan kepada Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi di Malaysia.
SPR adalah sebuah badan berperlembagaan dan Pengerusi dan Ahli SPR dilantik berdasarkan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Ahli-Ahli SPR adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Ahli-ahli SPR hanya boleh berhenti sekiranya sudah berusia 66 tahun ataupun dipecat oleh YDPA.
Perkara 114(3) juga menyatakan secara jelas bahawa ahli-ahli SPR “tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atau alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan”, yakni melalui sebuah tribunal untuk membuktikan adanya penyalahgunaan kuasa atau kesalahan yang menjejaskan fungsi SPR. Ini bermakna kewibawaan dan keberkecualian SPR sebagai institusi demokrasi adalah setahap dengan Mahkamah Persekutuan.
Gesaan Datuk Wan Ahmad untuk Datuk Azhar Harun dan ahli-ahli SPR yang lain untuk meletak jawatan tidak masuk akal sepertimana kalau Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun binti Tuan Mat juga digesa untuk meletak jawatan kerana Tun Dr Mahathir yang mencadangkan nama mereka untuk perlantikan oleh YDPA.
Gesaan ini bukan sahaja memperlihatkan kecetekan penghayatan Wan Ahmad tentang demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan, malah menampakkan anggapan dirinya sebagai lantikan politik apabila menyandang jawatan Setiausaha (1998-2004) dan kemudian Timbalan Pengerusi (2004-2013) SPR. Tidak hairanlah SPR dalam tempoh 1998-2013 gagal meyakinkan rakyat bahawa ia bertugas dengan bebas dan berintegriti.
Sehingga kini, kita belum menyaksikan tindakan atau kesalahan yang menunjukkan adanya perlanggaran perlembagaan, undang-undang atau prinsip pilihan raya adil dan bersih oleh SPR. Sebaliknya, SPR telah banyak membuat pembaharuan terhadap pelaksanaan pilihan raya dan respon berkenaan isu-isu pilihan raya. Berikut adalah beberapa pembaharuan SPR yang boleh dipuji:
- Meminta calon-calon pilihan raya kecil menandatangani borang Aku Janji agar tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya seperti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
- Mengedarkan Kad Pengundi(Voters Card) kepada pengundi bagi memberi maklumat seperti pusat pengundian, tarikh mengundi dan saluran pengundian untuk menggalakkan pemilih turun mengundi seperti di PRK DUN Rantau, DUN Semenyih dan Parlimen Sandakan
- Menyemak dan menyiasat senarai pemilih yang berusia 90 tahun ke atas untuk mengeluarkan nama pengundi yang telah meninggal.
- Memaparkan proses penjumlahan undi di Pusat Penjumlahan Undi di semua PRK secara langsung dan terbuka di laman Facebook rasmi SPR.
- Menyediakan kamera kecil di meja kerani pengundian bagi memantau proses pengundian serta pengiraan undi di setiap saluran semasa PRK Kimanis. Ini dilihat sebagai satu pembaharuan dalam memastikan ketelusan pengurusan pilihan raya dan rakaman boleh dijadikan rujukan sekiranya terjadi apa-apa isu berbangkit.
- Memberi amaran kepada kerajaan agar tidak menggunakan jentera dan sumber kerajaan untuk berkempen semasa PRK Cameron Highlands.
- Memberi akreditasi kepada pertubuhan masyarakat sivil seperti Bersih 2.0, Engage, Tindak Malaysia dan sebagainya untuk menjadi pemerhati semasa PRK.
- Membuat laporan polis terhadap kesalahan pilihan raya yang dilakukan dalam PRKl.
Ini adalah sebahagian pembaharuan yang dilakukan oleh SPR di bawah kepimpinan Datuk Azhar Harun yang harus dipuji. Secara keseluruhannya, SPR hari ini adalah jauh lebih berwibawa, telus dan lebih terbuka berbanding SPR di zaman Barisan Nasional.
Bersih 2.0 mengajak rakyat Malaysia yang cintakan pilihan raya bersih dan adil untuk bersama menyatakan sokongan kepada SPR yang sedang diserang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0
(Kredit gambar: Berita Harian)