Masanya untuk Memperkasa Pengundi untuk Menarik Balik Mandat Katak Politik
Oleh Thomas Fann
Drama politik yang terdedah pada 23 Februari 2020 bermula dengan Langkah Sheraton telah menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih kurang daripada dua tahun lepas pada Pilihan Raya Umum ke-14. Rakyat Malaysia hanya mampu lihat dengan perasaan seram, marah dan tidak berdaya apabila mandat yang diberikan kepada PH telah dijungkir-balik oleh Ahli Parlimen(AP) daripada PKR dan PPBM yang sekongkol dengan parti pembangkang untuk membentuk kerajaan pintu belakang di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Fenomena wakil rakyat gabungan kerajaan melompat kepada pembangkang bagi meruntuhkan kerajaan bukan perkara baharu dalam politik Malaysia sebagaimana disaksikan di Dewan Undangan Negeri di Terengganu (1961), Sarawak (1966), Sabah (1994 dan 2018) dan Perak (2009) sebelum ini, namun perkara ini pertama kali disaksikan di peringkat Persekutuan. Gelombang pengkhianatan kali ini mencetuskan kejatuhan kerajaan PH di negeri Johor, Melaka dan Perak setakat ini.
Gejala wakil rakyat menukar parti dan menjual kerusi mereka demi kuasa dan selebihnya yang hanya dalam pengetahuan Tuhan, adalah sangat meloyakan dan mencemarkan kedudukan mereka yang kononnya “Yang Berhormat”. Namun sebagai pengundi yang menobatkan mereka sebagai wakil rakyat, kita tidak terdaya menangani katak-katak politik ini kerana tiadanya undang-undang anti-lompat-parti.
Keperluan adanya undang-undang anti-lompat-parti atau mekanismenya memang ternampak sekarang bagi mencegah pengkhianatan mandat pengundi pada masa hadapan. Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah meminda perlembagaan negeri mereka sejak 2012 agar ADUN yang melompat ke parti yang lain selain parti yang mereka bertanding semasa pilihan raya atau sekiranya dibuang oleh parti mereka akan hilang kerusi.
Tetapi sama ada peruntukan sebegini di peringkat negeri patuh dengan Perlembagaan Perseketuan boleh dipersoalkan. Ini pernah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada masa lalu kerana bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan, yang merangkumi kebebasan kepada wakil rakyat untuk memilih parti yang mereka hendak terlibat.
Lagipun, undang-undang anti-lompat-parti akan memberikan parti politik kuasa hampir mutlak ke atas AP dan ADUN mereka. Kebebasan wakil rakyat kita untuk mengundi atau bertindak berdasarkan nurani mereka atau untuk kebaikan kita akan terhapus sama sekali. Akhirnya, dalam menyelesaikan satu masalah, undang-undang yang ketat ini mungkin mewujudkan masalah lain yang lebih buruk secara tidak sengaja.
Mekanisme yang lebih baik adalah untuk pilihan raya tarik balik wakil (recall election). Ia adalah mekanisme yang memberi ruang kepada pengundi di sesuatu kawasan pilihanraya yang tidak puas hati dengan wakil rakyat mereka menarik semula mandat mereka melalui satu lagi pilihan raya. Sekiranya cadangan menarik balik wakil dibuat, satu pilihan raya kecil akan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut. Biasanya, petisyen untuk pilihanraya menarik balik wakil perlu mengutip tandatangan pemilih yang berdaftar yang mencukupi (tahap ambang ini boleh jadi 10% sebagai contoh) daripada jumlah pengundi berdaftar di kawasan pilihanraya tersebut.
Pilihan raya menarik balik wakil telah diamalkan di beberapa negara seluruh dunia seperti Argentina, Kanada, Jerman, New Zealand, Filipina, Switzerland, Taiwan, UK dan AS. Mekanisme tarik balik wakil dirangka berdasarkan keadaan politik dan sosial setempat. Pencetus untuk memanggil semula pilihan raya boleh ambil bentuk inisiatif popular dengan kempen pengutipan tandatangan pengundi atau pemenuhan syarat-syarat yang ditetapkan dalam undang-undang seperti di UK.
Nilai ambang untuk mencetuskan proses pilihan raya tarik balik boleh dirangka sebegiturupa supaya parti lawan politik tidak menyalahgunakan mekanisme tersebut. Namun, mekanisme ini sememangnya dapat memperkasakan pengundi dengan kuasa menarik balik mandat mereka terhadap mereka atas alasan apa pun yang absah.
Dalam konteks Malaysia, sekiranya mekanisme pilihan raya tarik balik wakil ini menjadi sebahagian undang-undang pilihan raya, ianya mungkin tidak akan menghalang politikus melompat tetapi pastinya mereka akan berfikir dua-tiga kali sebelum berbuat demikian. Ianya juga akan mendorong wakil rakyat untuk bekerja lebih keras di kawasan mereka kerana takut mandat akan ditarik balik atas ketidakpuasan pengundi yang tidak terhad kepada perbuatan lompat parti sahaja.
Pelompat parti biasanya menjustifikasikan tindakan mereka dengan alasan untuk berkhidmat di kawasan mereka dengan lebih baik. Sekiranya benar, pelompat parti boleh mengalahkan cadangan pilihan raya penarikan balik wakil jika majoriti pengundinya tidak mahu dia dipecat. Tidak seperti undang-undang anti-lompat, pilihan raya tarik balik wakil membenarkan pengundi untuk menentukan sekiranya mereka menyebelahi orang yang melompat atau parti lama mereka.
Apa terjadi pada 29 Februari 2020 adalah kudeta politik oleh elit politik. Walaupun ianya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ada, ianya bertentangan dengan demokrasi berparlimen dan menjadikan keputusan pilihan raya kita seolah-olah sampah sahaja. Kerajaan pintu belakang mungkin sah di sisi undang-undang tetapi ianya tidak absah dan pantang diabsahkan di sisi demokrasi. Kita perlu meminda undang-undang untuk mencegah atau paling tidak mengurangkan kemungkinan pengkhianatan politik dengan memperkasakan pengundi melalui mekanisme pilihan raya tarik balik wakil.
————————————–
Sekiranya anda mahu memahami dengan lebih lanjut mekanisme pilihan raya tarik balik wakil, anda boleh merujuk kepada artikel berikut. Cadangan penarikan balik wakil adalah pertama kali dibuat selepas kudeta Februari oleh Encik Lee Wai Hong, mantan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Saya juga ingin memberi kredit kepada rakan saya, Prof Dr Wong Chin Huat daripada Universiti Sunway di atas pencerahan beliau berkenaan pilihan raya tarik balik wakil kepada saya.
1). The Use and Design of Recall Votes – An International IDEA Working Paper – https://www.idea.int/sites/default/files/speeches/The-Use-and-Design-of-Recall-Votes.pdf
2). Recall Election – https://en.m.wikipedia.org/wiki/Recall_election