Kenyataan Media (21 Mac​ 2020): Hentikan Diskriminasi Peruntukan Wakil Rakyat Pembangkang di Peringkat Persekutuan dan Negeri

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk penarikan peruntukan kawasan ahli parlimen (AP) Pembangkang oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Pengguguran peruntukan sedemikian bukan sahaja satu diskriminasi terhadap pengundi di kawasan pembangkang, ianya juga adalah satu pengkhianatan besar kepada rakyat selepas pembentukan kerajaan pintu belakang. Diskriminasi ini adalah legasi Barisan Nasional (BN) yang dikekalkan, walaupun dikurang sedikit oleh PH, yang kini menanggung kesannya sebagai pembangkang baharu. 

Peruntukan parlimen ini diberikan kepada AP untuk menangani keperluan kritikal rakyat di kawasan mereka. Pengundi di kawasan yang dimenangi oleh Pembangkang tidak sepatutnya dihukum kerana memilih AP yang tidak bersama gabungan kerajaan. Sekiranya pengundi pembangkang dinafikan peruntukan, adakah ini bermakna mereka boleh dikecualikan daripada membayar cukai juga?

Semua AP/ADUN patut diberikan peruntukan yang disediakan oleh undang-undang, tanpa mengira kecenderungan parti, dan bukannya bergantung kepada budi bicara perdana menteri/menteri besar/ketua menteri. Perbelanjaan peruntukan pula perlu dipandu dengan teliti oleh garis panduan dan diaudit bagi mengelakkan rasuah serta menjamin rakyat benar-benar mendapatkan manfaat daripada peruntukan tersebut. 

Amalan jahat dan tidak demokratik ini yang menggunakan peruntukan parlimen untuk melemahkan wakil rakyat pembangkang dan menjadikan pengundi pembangkang sebagai tebusan adalah mentaliti ‘kerajaan ialah parti’ yang BN amalkan sekian lama. Peruntukan sedemikian diberikan kepada ‘penyelaras parlimen’ yang merupakan calon prospek pilihan raya. Penarikan peruntukan oleh PN terhadap mantan AP kerajaan adalah manifestasi pengembalian semula BN, yang hanya bertukar adalah orang di dalamnya. 

Pada Jun 2018, Bersih 2.0 telah membangkitkan masalah lama ini apabila AP Pakatan Harapan (PH) mendapat peruntukan tahunan RM500,000 manakala AP pembangkang hanya menerima RM100,000. Malangnya, kritikan Bersih 2.0 tidak didengari dan kini ahli parlimen PH menerima karmanya kerana mereka tidak menjadikan peruntukan kawasan statutori dan tidak diskriminatif kepada semua ahli parlimen.

Oleh itu, PH tidak mempunyai latar moral yang tinggi (moral high ground) untuk mengkritik PN jika kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak menghentikan amalan pemberian peruntukan kawasan pembangkang kepada ‘penyelaras kawasan’ mereka sendiri. PH dan semua parti politik yang lain, mesti membuat komitmen yang jelas dalam manifesto mereka yang seterusnya untuk memberi peruntukan kawasan secara tidak diskriminatif di peringkat persekutuan.

Bersih 2.0 menuntut kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri – yang dipimpin oleh PN, PH, BN, PAS, GPS dan Warisan – untuk menghentikan amalan diskriminasi sedemikian. PN harus memulihkan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

 

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

(Kredit gambar: Free Malaysia Today)