Kenyataan Media (21 Mac 2020): Sokongan Ramai Diperlukan Bagi Inisiatif Masyarakat Sivil Melawan COVID-19

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyeru kepada semua untuk bersama-sama sebagai satu negara dan menyokong satu sama lain dalam melawan penularan wabak COVID-19, yang kini telah menjangkiti 1030 orang dan mengorbankan tiga nyawa sejak Januari 2020. 

Perlawanan menentang COVID-19 tidak boleh diletakkan hanya kepada bahu kerajaan. Usaha kerajaan tidak akan berkesan tanpa sokongan dan kerjasama semua orang di seluruh negara. Kita sebagai rakyat perlu memainkan peranan, malah besar peranannya, untuk mengekang penularan wabak dan mengurangkan kes ini serta terus menamatkannya.

Sebagaimana di mana-mana masyarakat demokratik dengan masyarakat sivil yang hidup, banyak pertubuhan masyarakat sivil telah memulakan tindakan penting untuk melawan penularan COVID-19 dengan pelbagai kaedah. BERSIH 2.0 ingin menonjolkan beberapa inisiatif pertubuhan masyarakat sivil seperti di bawah dan menyeru semua orang untuk menyokong mereka secara kewangan, barangan atau sebagai sukarelawan:

  1. #MakanKongsi –Baucar makanan untuk golongan rentan, satu usaha sama oleh ahli daripada BERSIH 2.0, ENGAGE bersama Friends & Strangers. Inisiatif ini menyasarkan untuk menyediakan makanan dua kali sehari secara percuma dari 23 Mac hingga 5 April 2020 kepada 120 individu yang telah dikenalpasti sebagai kelompok rentan dan berisiko sekitar Johor Bahru akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan. Ramai daripada mereka adalah penghuni jalanan atau hanya menerima gaji harian serta tidak mempunyai kerja atau pendapatan untuk dua minggu seterusnya sehinggalah 31 Mac 2020. *Penganjur projek ini telah berjaya mengutip sumbangan kira-kira tiga kali ganda daripada jumlah yang diperlukan dan telah berhenti menerima sebarang sumbangan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk www.facebook.com/engage.my. Kami menggalakkan inisiatif sebegini untuk dilaksanakan di mana-mana sahaja bagi membantu golongan rentan ini.*

 

  1. #FrontlinersFirst oleh Projek Wawasan Rakyat (POWR) dan KiddoCare (www.kiddocare.my) di Lembah Klang. Projek ini menyasarkan untuk menyokong staf Kementerian Kesihatan (KKM) yang telah berusaha keras yang mempunyai keperluan penjagaan anak-anak ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan memastikan anak-anak mereka selamat. POWR menyasarkan untuk mengutip sumbangan bagi menampung sekurang-kurangnya 75% kos penjagaan anak-anak. Sekiranya dana yang dikutip adalah lebih, kami berharap untuk menawarkan subsidi yang lebih besar. Sumbangan dapat dibuat ke: 14023010011219, Bank Islam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

 

  1. Memohon sumbangan dalam bentuk wang atau barangan seperti air minuman, topeng muka, sarung tangan dan hand sanitiser oleh Dapur Jalanan Kuala Lumpur dan Liga Rakyat Demokratik. Projek ini menyasarkan untuk mengedarkan semua keperluan barangan ini secara kerap kepada mereka yang miskin, rakyat jalanan dan golongan tercicir yang tidak ada cara memiliki barangan tersebut bagi mencegah penularan COVID-19. Kepada mereka yang ingin menyumbang atau mempunyai barangan seperti yang dinyatakan, sila hubungi +6013-493 5719 (Arifin Amin).

 

  1. Bantuan #kitajagakita COVID-19 menghubungkan individu yang baik hati dengan senarai organisasi dan komuniti yang disahkan untuk membantu golongan yang terjejas dengan teruk oleh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19. Kumpulan yang terlibat dalam platform ini termasuklah Kesatuan Pencuci Hospital, Mercy Malaysia, The Lost Food Project, Pit Stop Community Café, dll. Sama ada anda sedang mencari bantuan atau ingin membantu orang lain, platform ini akan membantu untuk menghubungkan anda kepada organisasi yang menawarkan wang tunai atau sumbangan makanan, khidmat sukarelawan dan sokongan. Maklumat lanjut sila layari www.kitajaga.us

 

Ini hanyalah sebahagian daripada inisiatif masyarakat sivil dan senarai ini sudah tentulah lebih banyak. Kami yakin inisiatif seperti ini sangat diperlukan dalam banyak kawasan di seluruh negara jika kita ingin memenangi perlawanan menentang penularan COVID-19.

BERSIH 2.0 menyeru orang ramai untuk menyokong inisiatif sebegini agar kita dapat keluar daripada wabak ini bersama-sama.

 

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0