Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berterima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang mendengar seruan kepada beliau dan pemimpin politik yang lain dalam kenyataan mutakhir kami bertarikh 25 Mac 2020, dengan menyalurkan peruntukan dana kecemasan COVID-19 berjumlah RM30,000 kepada semua ADUN termasuk pembangkang.
Peruntukan dana yang diberikan kepada semua wakil rakyat tanpa berat sebelah adalah amalan yang perlu dicontohi oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang lain. Kerajaan negeri Selangor, yang memperuntukkan dana khas COVID-19 kepada ‘Penyelaras DUN” berbanding ADUN Pembangkang, sepatutnya mengikut jejak langkah Pulau Pinang.
Bersih 2.0 juga menggesa amalan yang saksama ini dipanjangkan kepada peruntukan dana pembangunan kawasan (DPK) juga. Semua wakil rakyat, daripada parti kerajaan mahupun pembangkang, perlu mendapat sumber yang sama rata untuk berkhidmat di kawasan mereka. Walaubagaimanapun, pentadbiran DPK perlu dilembagakan dengan garis panduan yang teliti, pemantauan dan audit untuk mencegah salah guna dan korupsi.
Kami menyeru semua gabungan dan parti kerajaan untuk membuang amalan diskriminasi terhadap pembangkang dalam pemberian peruntukan sama ada di peringkat persekutuan mahupun peringkat negeri. Jika tidak, mereka tidak mempunyai alasan yang munasabah untuk mengadu apabila mereka didiskriminasi sebagai pembangkang di negeri atau di persekutuan.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0
(Kredit gambar: NST)