Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dengan besar hati mengumumkan bahawa kami akan membuat kerjasama dengan ENGAGE untuk mengembangkan capaian dan impak inisiatif #MakanKongsi bagi memastikan golongan rentan antara kita dapat menikmati makanan dua kali sehari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PKP ini adalah diperlukan bagi membendung virus COVID-19 namun kesannya besar terhadap pekerja bergaji harian yang kini tidak ada pendapatan sepanjang tempoh PKP. Banyak di antara mereka yang berdepan dengan kesukaran malah kebuluran sekiranya kita tidak membantu mereka.
Walaupun Bersih 2.0 kekal sebagai kumpulan pendesak reformasi pilihan raya, kami tidak dapat sepenuhnya mendesak untuk reformasi pilihan raya apabila negara berada dalam krisis luar jangka dan nyawa sedang menjadi taruhan. Justeru, kami membuat keputusan untuk mengalihkan sedikit sumber dan jaringan untuk kerja amal untuk COVID-19 sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa. Kami akan meneruskan kerja kami dalam reformasi pilihan raya di tahap optima sebaik sahaja arahan PKP diangkat.
Inisiatif #MakanKongsi dimulakan oleh Pengerusi kami, Encik Thomas Fann pada 20 Mac dibawah NGO yang diasaskan beliau iaitu ENGAGE. #MakanKongsi secara asasnya bekerjasama dengan restoran atau kedai makan untuk menyediakan makanan kepada komuniti rentan ini. Kami memberikan baucar makanan yang mempunyai tarikh dan makanan khusus, seperti baucar sarapan di hotel. Pelanggan akan pergi ke restoran yang terlibat sebanyak dua kali sehari untuk mendapatkan makanan selama 14 hari. Kami akan membayar balik restoran tersebut secara harian berdasarkan baucar yang mereka terima. Untuk pelanggan yang tidak mampu memasak di rumah mereka, kami akan memberikan bantuan kewangan yang mencukupi kepada mereka untuk membeli barangan keperluan asas supaya mereka dapat memasak sendiri di rumah.
Idea #MakanKongsi dilancarkan dengan harapan lebih ramai kumpulan akan tampil dan mengangkat dan mengadaptasikan konsep ini semasa PKP. Sejak dari itu, pelbagai NGO dan individu telah mendekati kami untuk membuat kerjasama dalam menghantar makanan kepada yang memerlukan. Kami mempunyai rakan di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kajang dan Kuantan dan kini sedang membantu lebih 900 pelanggan tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan kerakyatan. Walaupun bantuan yang diumumkan kerajaan sangat dialu-alukan, ianya mungkin tidak sampai kepada beberapa kumpulan seperti rakyat jalanan atau terlalu miskin untuk mempunyai akaun KWSP. Kelompok inilah yang #MakanKongsi akan menghulurkan bantuan kerana mereka mungkin akan tertinggal disebalik niat kerajaan untuk tidak meninggalkan mereka.
Oleh itu kami perlu mengutip sebanyak RM200,000 bagi memenuhi komitmen dan meluaskan bantuan kami. Ini akan menambah kepada RM100,000 yang telah dikutip oleh ENGAGE. Bajet yang dibuat dikira berdasarkan sasaran kami untuk menyediakan makanan dua kali sehari selama 14 hari dengan kos RM4 satu hidangan, dengan jumlah RM112 setiap pelanggan. Kami sekarang mampu menyajikan makanan untuk 938 pelanggan selama dua minggu, namun kami ingin menyediakan makanan kepada lebih ramai orang kerana kami yakin dengan pemanjangan tempoh PKP selama dua minggu lagi, keperluan ini akan meningkat. Sasaran kami adalah untuk menyediakan makanan kepada 2,000 orang, menyediakan lebih 75,000 hidangan sepanjang tempoh yang sukar ini.
Bersih 2.0 berazam bahawa setiap sen yang disumbangkan untuk #MakanKongsi akan digunakan sepenuhnya bagi menyediakan makanan kepada pelanggan kami dan tidak ada yang digunakan bagi kos pentadbiran atau logistic. Kami akan bekerjasama dengan NGO atau individu yang berkredibiliti dan penggunaan dana ini akan dicatat dan telus. Inisiatif ini sepenuhnya berasingan daripada kerja kami dan dana yang dikutip bagi reformasi pilihan raya dan sebarang lebihan jika ada tidak akan pergi kepada kerja advokasi kami.
Anda boleh menyumbang melalui rakan pembayaran kami Bold.pay dengan menggunakan kad kredit, debit, perbankan atas talian (online), e-Wallet (Boost, Grabpay, TnG, Mcash, QRPay) dengan mengklik kepada pautan ini: https://boldpay.cc/Catalogue/makankongsi
Atau sumbang secara langsung ke akaun kami:
Bank: Maybank (PJ Old Town Branch)
Nama: Bersih & Adil Network Sdn Bhd
No. akaun: 512295102931
Rujukan: MakanKongsi
Sekiranya anda memerlukan resit, sila e-melkan resit bank anda ke [email protected] selepas pemindahan wang anda.
Satukan Tenaga, Selamatkan Malaysia!
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0