Kenyataan Bersama Bersih 2.0 dan ENGAGE (29 Mac 2020): Sokongan NGO kepada Komuniti Rentan adalah Perkhidmatan Perlu dan Seharusnya Dibenarkan Beroperasi Semasa PKP

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan ENGAGE, rakan penganjur projek #MakanKongsi yang menyediakan baucar makan percuma kepada komuniti rentan, menyeru Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertimbangkan bantuan dan sokongan pertubuhan masyarakat sivil kepada komuniti rentan sebagai perkhidmatan perlu. 

Kami menyokong seruan lebih 120 pertubuhan masyarakat sivil semalam bahawa mereka yang terlibat dalam bantuan makanan dan sokongan harian kepada komuniti rentan perlu diberi kebenaran untuk meneruskan operasi. Mereka perlu dibenarkan untuk bergerak tanpa perlu ada sekatan dan gangguan daripada agensi penguatkuasa supaya sempat memberi khidmat mereka kepada komuniti yang memerlukan dalam tempoh krisis ini.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang dipanjankan kepada 14 April 2020, banyak individu dan komuniti berhadapan dengan kesukaran tanpa pekerjaan dan pendapatan selama sebulan. Perkara ini diterukkan lagi dengan PKP dan kemungkinan PKP dikuatkuasakan lagi di beberapa kawasan untuk hari yang mendatang sebagaimana yang berlaku di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baru Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor, pada 27 Mac, yang menjadikan mereka sukar untuk mendapatkan bantuan dan sokongan yang mereka terima sewaktu tempoh biasa. 

Kami berasa risau bahawa akses untuk menyokong dan membantu komuniti rentan ini akan disekat sepenuhnya berikutan kenyataan menteri pertahanan Ismail Sabri semalam yang meminta pertubuhan masyarakat sivil berhenti memberikan bantuan dan sokongan secara langsung kepada komuniti rentan, dan menghantarnya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) daerah, di mana pegawai RELA dan Angkatan Tentera Malaysia(ATM) akan mengedarkannya dari rumah ke rumah. 

Pertubuhan masyarakat sivil yang menyokong komuniti rentan seperti rakyat jalanan, ibu tunggal, Orang Asli dan Orang Asal, pelarian, pekerja migran yang tidak berdokumen, telah membantu mereka selama bertahun-tahun dan tahu di mana kelompok ini berada serta telah mendapat kepercayaan daripada mereka. Pertubuhan masyarakat sivil akan lebih cepat memberi perkhidmatan kepada mereka dalam tempoh yang tepat berbanding membazirkan masa dengan prosedur birokratik untuk menghantarnya kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, RELA dan ATM. 

Komuniti rentan ini juga berasa takut dengan pegawai penguatkuasa undang-undang yang telah mengambil tindakan terhadap mereka sebelum ini. Ini akan mengakibatkan komuniti rentan ini menyembunyikan diri daripada pegawai penguatkuasa dan menyebabkan kegagalan penghantaran bantuan dan sokongan yang mereka sangat perlukan.    

Bersih 2.0 dan ENGAGE justeru menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan pertubuhan masyarakat sivil sebagai rakan penting dalam perlawanan menentang Covid-19 serta menganggap sokongan dan bantuan kepada komuniti rentan semasa PKP adalah sebahagian daripada perkhidmatan perlu. 

Kami yakin bahawa pertubuhan masyarakat sivil akan mematuhi prinsip dan garis panduan daripada KKM semasa operasi mereka, bahkan akan membantu KKM untuk menyebarkan maklumat penting bagi mencegah Covid-19 kepada komuniti rentan ini. 

To enable civil society organizations to continue to extend essential services to these vulnerable communities in a timely manner, we recommend:

Bagi membolehkan pertubuhan masyarakat sivil meneruskan perkhidmatan kepada komuniti ini, kami mencadangkan:

  1. Keizinan pergerakan kepada pertubuhan masyarakat sivil semasa PKP perlu diberikan selagi pertubuhan masyarakat sivil memaklumkan Majlis Keselamatan Negara(MKN) secara rasmi melalui inisiatif dan perkhidmatan mereka kepada komuniti rentan secara bertulis. 

 

  1. MKN perlu memaklumkan dan kerap mengemaskini senarai pertubuhan masyarakat sivil yang memberi bantuan kepada komuniti rentan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang.

 

  1. Senarai ini perlu dibuat secara umum di laman web Jabatan Perdana Menteri bagi tujuan pengesahan sekiranya timbul sebarang isu. 

Polisi sebegini akan memboleh pertubuhan masyarakat sivil meneruskan operasi mereka di akar umbi dengan lancar dan menyokong kerajaan bagi memastikan bahawa tidak ada kelompok yang tertinggal semasa tempoh PKP. Ianya juga akan mengelakkan sebarang salah faham dan insiden yang tidak dimahukan antara pegawai penguatkuasa serta pekerja dan sukarelawan pertubuhan masyarakat sivil.

 

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dan ENGAGE