Kenyataan Media (30 Mac 2020): Bersih 2.0 Mengalukan Peruntukan Khusus kepada Pembangkang dan Menyeru Reformasi Dana Pembangunan Kawasan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berterima kasih kepada perdana menteri kerana mendengar seruan kami untuk tidak mendiskriminasikan ahli parlimen (AP) pembangkang dan mengalukan peruntukan khusus berjumlah RM100,000 yang disalurkan kepada semua AP pembangkang sebagaimana yang disahkan oleh YB Wong Chen berdasarkan surat yang beliau terima daripada Pejabat Perdana Menteri hari ini, 30 Mac 2020. 

Peruntukan ini membolehkan AP pembangkang menyelesaikan keperluan rakyat di kawasan mereka, terutamanya ketika masa kritikal ini bagi menghadapi wabak COVID-19. Walaubagaimanapun, peruntukan khusus kepada AP kerajaan masih tidak diketahui lagi berapa jumlahnya. Oleh itu, Bersih 2.0 ingin menekankan kembali seruan kami sebelum ini iaitu semua AP perlu menerima jumlah dana yang sama tanpa mengira kepartian politik. 

Bagi menyelesaikan isu peruntukan AP ini, kami menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk melembagakan reformasi Dana Pembangunan Kawasan (DPK) melalui undang-undang untuk menyelesaikan masalah AP pembangkang menerima jumlah yang kurang daripada AP kerajaan atau tidak mendapat langsung peruntukan. 

Pertama, pengagihan DPK perlu standard dan sama untuk semua AP. Pengundi di kawasan pembangkang tidak boleh dihukum kerana memilih AP yang tidak selari dengan gabungan kerajaan. 

Kedua, pengurusan DPK perlu diuruskan dengan garis panduan yang teliti, pemantauan dan audit, berbanding hanya berdasarkan budi bicara AP. Ini akan mencegah salah guna kuasa, pembaziran dan korupsi serta memboleh pengundi memohon dana tersebut tanpa ada rasa terhutang budi kepada AP. 

Kami menyeru perdana menteri untuk menamatkan amalan diskriminatif terhadap wakil rakyat pembangkang dan menjadikan reformasi ini sebahagian daripada undang-undang sebelum mendapat balasan sekiranya menjadi pembangkang kelak. 

 

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0