Kenyataan Media Bersih 2.0 dan ENGAGE (9 April 2020): #MakanKongsi Mencapai Sasaran Kutipan RM300,000 namun Golongan yang Memerlukan Masih Ramai

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan rakan kami daripada ENGAGE, sukacita mengumumkan bahawa sehingga hari ini, kami telah berjaya mengutip RM313,613, melebihi RM300,000 yang kami sasarkan apabila memulakan kempen #MakanKongsi pada 20 Mac 2020. Kami sangat berterima kasih kepada 1091 penyumbang yang sangat murah hati untuk menghulur tangan membantu orang lain yang berisiko kebuluran,  walaupun mereka mempunyai kebimbangan dan cabaran tersendiri semasa Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

 

#MakanKongsi bermula dengan fokus yang jelas bagi memastikan komuniti rentan dalam negara kita dapat makan dua kali sehari semasa tempoh PKP dan sumbangan yang diterima telah membantu lebih 4,256 orang daripada komuniti rentan setakat ini. Melalui 22 rakan NGO dan individu yang bekerja dalam kalangan miskin bandar, Orang Asli/Asal, pekerja migran, pelarian, ibu tunggal, OKU dan lain-lain, kami telah menyediakan baucar makanan, bantuan kewangan dan bahan makanan asas kepada individu, keluarga dan kampung yang paling berisiko tinggi. 

 

Adalah sangat jelas kepada kami apabila memproses permohonan daripada rakan dan permohonan baru setiap hari, keperluan ini semakin memuncak dan kami hanya mampu membantu kelompok yang sangat sedikit yang bergelut untuk menghilangkan rasa lapar. Ianya juga sangat jelas kepada kami bahawa masalah ini tidak akan tamat dengan berakhirnya tempoh PKP pada 14 April nanti. Kebanyakan daripada komuniti ini masih dalam risiko disebabkan mereka adalah pekerja bergaji harian yang bergantung kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) untuk bekerja. Banyak PKS sedang berhadapan risiko gulung tikar akibat daripada penutupan perniagaan mereka selama sebulan. Jika PKP dipanjangkan tempohnya, kita akan menyaksikan krisis kemanusiaan yang berleluasa yang belum pernah disaksikan oleh negara ini sejak daripada pembentukannya.  

 

Sisi cerah daripada krisis ini adalah manifestasi semangat bantu membantu antara rakyat Malaysia yang segera bertindak memberikan sokongan kepada petugas barisan hadapan di dalam perkhidmatan kesihatan dan membantu komuniti yang di dalam risiko kebuluran. #MakanKongsi sangat bertuah dapat mengenali dan bekerjasama dengan ramai individu yang amat mengkagumkan. Mereka membumikan semangat #KitaJagaKita dan #TiadaSiapaDipinggirkan dan mereka berada di setiap ceruk negara ini dan di setiap komuniti. #MakanKongsi wujud untuk menyokong usaha mereka bagi dengan menyediakan geran kecil kepada adiwira tempatan yang tidak didendangkan ini. 

 

Bersih 2.0 dan ENGAGE mengajak semua rakyat Malaysia untuk menyokong usaha daripada NGO dan individu ini dengan menyumbang dan bahkan berkorban untuk menjaga setiap orang yang terkesan dengan PKP tanpa mengira etnik, kepercayaan dan status kewarganegaraan. Bagi pihak kami, kami akan terus menerima sumbangan walaupun telah mencapai sasaran RM300,000 disebabkan hampir semua dana kami telah diagihkan, dan sekiranya tempoh PKP dipanjangkan serta masih ramai lagi golongan yang memerlukan bantuan di luar sana. Kami akan terus mempertimbangkan permohonan daripada NGO untuk menyokong mereka selagi mana dana ini masih mencukupi. Kami berikrar setiap ringgit yang disumbangkan akan ditukarkan kepada makanan kepada mereka yang memerlukan di antara kita. 

 

Sekali lagi, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada #MakanKongsi. Anda telah melakukan perubahan kepada ribuan nyawa yang kami mampu hulurkan bantuan. Kita sememangnya lebih #TeguhBersama. 

 

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

Jawatankuasa Eksekutif ENGAGE