Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk Kerajaan Negeri Sarawak dibawah GPS yang memberikan kawalan dana bantuan COVID-19 kepada ADUN GPS yang terpilih sahaja sebagaimana yang dilaporkan oleh Sarawak Report pada 11 April 2020 https://www.sarawakreport.org/2020/04/cashing-in-on-COVID-political-lies-and-shrinking-supplies-expose/).
Setiap dari 82 kawasan pilihan raya Sarawak telah diperuntukkan RM200,000 untuk dibelanjakan untuk makanan di setiap kawasan. Namun, menurut satu memo daripada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, peruntukan untuk kawasan pembangkang akan diuruskan oleh wakil GPS. Sebagai contoh, ADUN Batu Kawah Dr. Sim Kui Hian dan ADUN Nangka Dr. Annuar Rapa’ee telah diberikan RM1 juta untuk diuruskan bagi kawasan mereka dan juga empat lagi kawasan pembangkang.
Pemaksaan pengundi di kawasan pembangkang untuk beralih kepada wakil kerajaan demi bantuan adalah sama seperti memaksa mereka untuk menyokong kerajaan pada masa hadapan. Amalan ini meremehkan demokrasi dan GPS, PN, PH, PAS dan Warisan bersalah di atas tanggungan rakyat.
Kami mengutuk amalan yang buruk dan tidak beretika ini yang merendahkan nilai demokrasi serta mempromosikan hubungan penaung-anak buah antara parti pemerintah dan pengundi terutamanya dalam tempoh kritikal wabak COVID-19 ini. Ianya telah menjadi perkembangan yang merisaukan apabila Kerajaan PH Negeri Selangor (https://www.bersih.org/kenyataan-media-25-mac-2020-diskriminasi-dalam-peruntukan-terhadap-pembangkang-pemaksaan-kepada-rakyat-menyokong-kerajaan/) dan Kerajaan Persekutuan PN (https://www.bersih.org/kenyataan-media-21-mac%e2%80%8b-2020-hentikan-diskriminasi-peruntukan-wakil-rakyat-pembangkang-di-peringkat-persekutuan-dan-negeri/) telah menggunakan mekanisme penyaluran peruntukan yang sama yang juga mengundang kritikan daripada kami.
Sebaliknya pula, MP Kulai Teo Nie Ching juga telah mendakwa bahawa 422 keluarga miskin dalam kawasan beliau tidak menerima bantuan makanan kerana beliau dimaklumkan oleh pegawai kebajikan bahawa Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong akan menyelaras agihan bantuan makanan di kawasan pembangkang. Kami menggesa penjelasan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Wee Ka Siong atas pemberhentian pengagihan bantuan makanan di kawasan yang terbabit.
Kerajaan persekutuan dan semua kerajaan negeri mesti hentikan segera peruntukan dana berdasarkan parti dan menjadikan modal politik daripada bantuan COVID-19 sebagaimana yang teladan baik yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang (https://www.bersih.org/kenyataan-media-27-march-2020-syabas-pulau-pinang-teladan-dalam-peruntukan-COVID-19-yang-tidak-diskriminatif/).
Kami sekali lagi menggesa kerajaan persekutuan dan semua kerajaan negeri untuk melembagakan reformasi peruntukan Dana Pembangunan Kawasan (DPK) sebagai penyelesaian jangka panjang. Peruntukan yang sama rata perlu diberikan kepada semua wakil rakyat berbanding disalurkan melalui penyelaras yang tidak dipilih dalam pilihan raya atau wakil yang lain di kawasan pembangkang. Perbelanjaan dana tersebut perlu dipantau dengan garis panduan yang ketat dan diaudit bagi mencegah salah guna dan korupsi.
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0
(Kredit gambar: Bernama)