Merujuk kepada kes-kes ahli-ahli parlimen yang disiasat oleh pihak polis atas alasan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa memberi bantuan makanan kepada komuniti rentan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk tindakan segelintir Pegawai Polis DiRaja Malaysia yang seolah-olah menunjukkan kuasa tanpa ada budi bicara terhadap mereka yang membuat kerja kebajikan menghulur bantuan kepada golongan terputus bekalan makanan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) ini.
Bantuan daripada Ahli Parlimen, ADUN, badan-badan bukan kerajaan(NGO) atau mana-mana sukarelawan kepada komuniti rentan dalam krisis pandemik Covid-19 seperti ini seharusnya dialu-alukan serta operasi mereka dipermudahkan oleh agensi-agensi kerajaan, dan bukannya dihalang atas alasan birokratik yang tidak munasabah sehingga komuniti yang ingin dibantu tidak mendapat bantuan.
Kami memahami tugas dan tanggungjawab pihak polis dan pasukan penguatkuasa yang lain untuk mengawal keadaan agar pandemik Covid-19 ini dapat dicegah. Namun, sekiranya mana-mana sukarelawan NGO, Ahli Parlimen atau ADUN yang memberi sumbangan kepada kelompok rentan mematuhi Prosedur Tetap Operasi(PTO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), maka pihak polis perlu menghormati dan membantu untuk memudahkan pengagihan barangan bantuan tersebut.
Pihak polis perlu betul-betul memahami situasi di akar umbi selepas sebulan lebih dalam tempoh PKP, ramai yang akan habis bekalan kerana terputus mata pencarian. Di sini ruang yang akan diisi oleh para sukarelawan dan wakil rakyat untuk turun membantu rakyat di kawasan mereka agar tidak ada yang akan berada dalam kebuluran.
Tindakan pihak polis yang terburu-buru dan keterlaluan dalam pelaksanaan PKP akan menghalang sukarelawan dan wakil rakyat membantu komuniti di sekitar mereka untuk menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Dalam situasi genting kini, adalah sangat penting untuk semua pihak daripada polis, JKM, sukarelawan dan wakil rakyat berganding bahu untuk membantu mereka yang di dalam kesusahan.
Bersih 2.0 sekali lagi ingin mengingatkan agar pihak polis lebih berhikmah dalam melaksanakan PKP. Tidak perlu ada ketegangan antara pihak polis dan rakyat biasa yang ingin membantu antara satu sama lain.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0