Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bimbang dengan keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan sidang parlimen Dewan Rakyat yang seterusnya cuma sehari pada 18 Mei ini. Kemungkinan justifikasi yang diberikan bagi tindakan ini adalah untuk mengekalkan penjarakan sosial disebabkan oleh wabak Covid-19. Namun demikian kami ingin menegaskan bahawa keutamaan Parlimen untuk yang menjadi semak dan imbang kepada cabang Eksekutif tidak boleh dikesampingkan, terutamanya bagi memastikan agenda penting untuk membahas dan meluluskan perundangan dan belanjawan utama yang berkaitan dengan kesan Covid-19 dapat dijalankan oleh Parlimen.
Dengan perlonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan PN yang mengizinkan perniagaan di seluruh negara untuk memulakan operasi pada 4 Mei, walaupun dengan syarat yang ketat, adalah tidak masuk akal untuk Kerajaan PN mengelak untuk mengadakan sidang Parlimen sebagaimana biasa atau paling singkat selama dua minggu, terutamanya dengan pilihan yang ada untuk mengekalkan penjarakan sosial.
Salah satu kaedah adalah untuk mengadakan sidang secara maya dengan ahli-ahli parlimen (AP) dapat berhubung antara satu sama lain daripada rumah ada ruangan lain termasuk di dalam parlimen. Parlimen UK telah membenarkan AP untuk mengemukakan soalan (termasuk kepada PM), soalan segera dan mendapatkan kenyataan menteri melalui pautan video. Hanya maksimum 50 orang AP dibenarkan memasuki dewan pada satu masa bagi mematuhi garis panduan penjarakan sosial. Berbanding Dewan Rakyat di UK, Dewan Rakyat kita adalah lebih luas. Kesemua 222 AP sepatutnya dapat bersidang di dewan dengan mematuhi garis panduan penjarakan pada 18 Mei ini.
Sejak kali terakhir parlimen bersidang pada 5 Disember 2019, kita telah menyaksikan perubahan dalam kerajaan dengan keruntuhan Kerajaan Pakatan Harapan(PH) dan terbentuknya Kerajaan PN di bawah Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8. Di bawah Perkara 55(1)(2) Perlembagaan Persekutuan, sekiranya Parlimen tidak bersidang dalam masa enam bulan daripada sesi terakhirnya, Yang di-Pertuan Agong(YDPA) perlu membubarkan Parlimen. Adalah jelas bahawa tujuan mengadakan sidang parlimen hanya dua minggu sebelum tarikh akhir pembubaran hanyalah untuk mengelakkan pembubaran secara automatik.
Bersih 2.0 menggesa Kerajaan PN di bawah PM Muhyiddin Yassin untuk mendukung keutamaan Parlimen dengan mengadakan sidang parlimen yang lebih substantif bagi membahaskan langkah-langkah segera untuk menangani wabak Covid-19. Sesi ini dapat dijalankan dengan memanfaatkan aplikasi sidang video seperti Zoom, Microsoft Teams, Cisco Web Meetings dan Google Meet untuk memastikan MP dapat mengambil bahagian daripada jarak jauh serta selamat dari rumah atau bahkan daripada ruangan lain di bangunan Parlimen.
Tidak dapat dinafikan apabila mengadakan sidang parlimen secara maya akan ada isu perundangan bagi penyertaan jarak jauh, keselamatan penggunaan aplikasi dan keaslian apabila pengundian dilakukan. Namun kami percaya bahawa cabaran ini bukanlah tidak dapat diatasi oleh pakar teknologi dan pakar perundangan kita sekiranya ada kemahuan politik untuk mengangkat demokrasi berparlimen. Justeru ini membangkitkan persoalan sekiranya kerajaan Muhyiddin mempunyai kemahuan politik untuk berhadapan dengan rakan separlimen atau beliau akan terus bersembunyi disebalik alasan virus Covid-19?
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0