Kenyataan Media Bersih 2.0 dan ENGAGE (6 Mei 2020): Terima Kasih Di Atas Sokongan Kepada #MakanKongsi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan rakan kerjasama kami daripada ENGAGE  ingin mengumumkan bahawa dengan pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), kami akan menggulung inisiatif #MakanKongsi dan memberhentikan pengutipan sumbangan hari ini dan hari-hari yang seterusnya. Kami ingin mengucapkan dengan seikhlas hati rasa terima kasih kepada semua 1683 penyumbang, 50 rakan kerjasama kami, serta Jawatankuasa Kerja #MakanKongsi yang memastikan keberjayaan inisiatif tersebut sepanjang tempoh yang sangat getir ini.

#MakanKongsi bermula dengan seruan sederhana untuk mengutip RM13,440 oleh ENGAGE pada 20 Mac bagi menyediakan baucar makanan agar rakyat jalanan dapat terjaga sepanjang tempoh PKP. Bersama-sama Bersih 2.0, ianya telah berkembang dalam beberapa minggu menjadi pendana bantuan kemanusiaan kepada NGO dan individu yang lain yang bergerak kerja untuk memudahkan kesukaran yang ditanggung oleh komuniti rentan semasa tempoh PKP.

Sepanjang perjalanan ini, kami telah banyak belajar daripada pelbagai kisah menyayat hati dan terkesima dengan kesusahan yang dihadapi oleh ramai orang. #MakanKongsi sesal kerana tidak mampu membantu setiap mereka yang dalam kesusahan. Namun dengan sumbangan orang ramai, dan kerja keras oleh rakan-rakan, kami telah berjaya mengumpulkan RM544,262.72 setakat hari ini dan telah memberikan 99 geran dalam bentuk baucar makanan, bantuan kewangan serta pek makanan asas kepada hampir 19,786 penerima di seluruh Malaysia tanpa mengira etnik, kewarganegaraan dan kepercayaan.

Walaupun kami sedang menghentikan #MakanKongsi bagi memberikan semula tumpuan kepada tujuan asas kami sebagai organisasi reformasi pilihan raya, kami sedar bahawa masih banyak cabaran yang akan dihadapi oleh mereka yang terkesan dengan PKP. Walaupun PKP akan ditamatkan sepenuhnya kelak, golongan yang memerlukan dan pekerja bergaji hari serta yang bekerja dengan perusahaan kecil sederhana masih lagi dalam keadaan berisiko dan bantuan masih diperlukan oleh sebahagian daripada mereka. Justeru, kami menyeru rakyat Malaysia yang murah hati untuk terus menyokong organisasi dan individu yang membantu mereka.

Bersih 2.0 dan ENGAGE ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf dan menghargai semua inisiatif rakyat, daripada organisasi kepada individu sehinggalah ahli politik, dalam membantu komuniti rentan dan menyokong petugas kesihatan di barisan hadapan, pegawai penguatkuasa yang menguatkuasakan PKP bagi memastikan kita dapat mengawal penyebaran Covid-19 dengan berkesan. Sudah tentu kita boleh keluar dari wabak ini dengan #TeguhBersama dan menghayati semangat #KitaJagaKita.

Akhirnya, kami mengamalkan standard akauntabiliti dan ketelusan yang tinggi dengan memaparkan kepada anda pautan untuk melihat sendiri senarai rakan kerjasama, geran yang diberikan, komuniti yang dibantu, jumlah penerima, sumbangan terkini, jumlah pengeluaran dan baki sumbangan. Pautan ini adalah di https://bit.ly/MKpartners. Kami juga akan memuatnaik laporan akhir #MakanKongsi sebaik sahaja setiap sen yang disumbangkan kepada #MakanKongsi habis dibelanjakan. Sebagaimana janji kami, setiap sen yang dikutip akan ditukarkan menjadi makanan kepada yang memerlukan.  

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0
Jawatankuasa Eksekutif ENGAGE