Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk dua orang ADUN Negeri Kedah iaitu N29 Sidam Robert Ling Kui Ee dan N34 Lunas Azman bin Nasrudin yang telah meninggalkan Parti Keadilan Rakyat(Keadilan) dalam langkah yang jelas untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Harapan.
Kejatuhan kerajaan negeri Kedah selepas Johor, Melaka dan Perak yang dicetuskan dengan tindakan lompat parti menunjukkan keperluan mendesak untuk sistem pilihan raya tarik balik wakil diperkenalkan seperti yang dicadangkan oleh Bersih 2.0 pada 16 Mac 2020 (https://www.bersih.org/time-to-empower-voters-to-recall-political-frogs-thomas-fann/). Hanya dengan pilihan raya tarik balik wakil dapat mencegah parti daripada dilemahkan oleh gejala lompat parti yang berterusan yang dipandu oleh kepentingan peribadi sebagai king maker (penentu kerajaan) kepada siapa yang akan menjadi kerajaan, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.
Bersih 2.0 menggesa PH dan rakan sekutu mereka iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan), sebagai mangsa gejala lompat parti, menyatakan janji untuk memperkenalkan pilihan raya tarik balik wakil sekiranya mereka mendapat semula kuasa pada pilihan raya yang akan datang di peringkat persekutuan dan negeri serta memperkenalkan mekanisme ini di Selangor, Pulau Pinang dan Sabah di mana mereka masih di tampuk kuasa. Undang-undang anti-lompat yang dituntut oleh ramai rakyat Malaysia sebenarnya bukanlah penyelesaian yang tuntas.
Cadangan penuh Bersih 2.0 berkenaan prinsip-prinsip dan kaedah penyelesaian isu lompat parti adalah seperti di bawah:
- Gejala lompat parti yang menyebabkan perubahan kerajaan oleh penggubal undang-undang disebabkan kepentingan peribadi membawa padah buruk kepada parti politik yang menjadi tulang belakang kepada demokrasi berparlimen. Sekiranya pengundi membuang undi berdasarkan parti politik dengan kerajaan yang bakal dibentuk dalam pemikiran, gejala lompat parti ini menjadikan pilihan raya tidak bermakna lagi dan ia memudaratkan keabsahan sistem politik kita.
- Undang-undang anti-lompat yang ramai rakyat Malaysia gesa adalah penyelesaian yang bermasalah yang hanya menggantikan satu ketempangan dengan ketempangan yang lain. Bagi memastikan undang-undang anti-lompat betul-betul berkesan, bukan sahaja penggubal undang-undang yang secara suka rela meninggalkan parti sahaja yang perlu dipecat dari kerusi, bahkan juga mana-mana penggubal undang-undang yang dibuang daripada parti. Hal ini berkemungkinan menyebabkan penggubal undang-undang menjadi boneka kepada kepimpinan parti bagi mengelakkan mereka kehilangan kerusi walaupun kepimpinan parti bertindak bertentangan dengan kepentingan awam. Untuk kerajaan parti tunggal/blok dengan majoriti mudah, undang-undang anti-lompat akan menjinakkan ahli penyokong kerajaan menjadi tukang sorak dan secara berkesan memastikan Legislatif menjadi rubber stamp kepada Eksekutif.
- Realitinya, undang-undang anti-lompat tidak dapat mengelakkan cabaran kehakiman. Undang-undang ini pernah diperkenalkan di Kelantan namun diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan oleh Mahkamah Tinggi 1992 kerana menghalang kebebasan berpersatuan, yang termaktub dalam Perkara 10(1)(c), kepada penggubal undang-undang (https://www.theedgemarkets.com/article/%E2%80%98anti-hopping-law-would-violate-constitution%E2%80%99). Sebarang undang-undang anti-lompat termasuklah yang diperkenalkan di Pulau Pinang pada 2012 (https://www.malaysiakini.com/news/213221) mungkin akan dicabar dan dibatalkan oleh mahkamah melainkan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memintas keputusan mahkamah pada 1992.
- Penyelesaian tuntas kepada gejala lompat parti tanpa menempangkan legislatif dan membahayakan demokrasi berparlimen adalah dengan mengukuhkan parti politik. Sekiranya parti politik dikukuhkan, gejala lompat parti oleh penggubal undang-undang tidak akan menjadi endemik. Ianya mungkin masih berlaku kerana perbezaan pendapat disebabkan oleh polisi dan ideologi, di mana ianya adalah sah dalam demokrasi berbilang parti. Namun ia tidak sepatutnya berlaku kerana kepentingan peribadi sebagai penentu kerajaan baharu atau tukang sorak tambahan kepada kerajaan sedia ada.
- Untuk mengukuhkan parti dalam masyarakat yang dijangkiti dengan politik naungan yang berleluasa seperti di Malaysia memerlukan dua reformasi institusi. Pertamanya adalah layanan sama rata kepada semua parti politik dan penggubal undang-undang, supaya tidak terdapat banyak kelebihan di antara mereka dari segi perlantikan jawatan bergaji besar, pemberian kontrak, akses kepada dana pembangunan kawasan (fund https://www.bersih.org/press-statement-30-march-2020-bersih-2-0-welcomes-special-allocation-for-opposition-calls-for-constituency-development-fund-reform/) atau dalam kes di Perak pada tahun 2009, pengguguran pendakwaan jenayah (https://www.thestar.com.my/news/nation/2010/04/23/experak-pkr-exco-members-acquitted-of-graft-charges-updated) kerana bertukar parti
- Reformasi kedua adalah memperkenalkan sistem perwakilan bercampuran(https://www.researchgate.net/publication/222032501_Electoral_Efficiency_and_the_Move_to_Mixed-Member_Systems) yang bukan sahaja memberikan mandat individu untuk mewakili kawasan di bawah sistem First-Past-the-Post (FPTP) yang memberi ruang untuk menukar parti, malah dapat memberi mandat secara langsung kepada parti politik melalui sistem “Senarai Perwakilan Bernisbah Daripada Parti Politik”, di mana kerusi akan kekal dengan parti dan diberikan kepada calon gantian sekiranya penggubal undang-undang tersebut melompat parti. Ini akan mengurangkan prospek penukaran regim akibat gejala lompat parti oleh beberapa perwakilan di bawah FPTP, yang mandat mereka boleh ditarik balik melalui pilihan raya tarik balik wakil.
- Oleh kerana perubahan sistem pilihan raya memerlukan perbahasan lanjut, pilihan raya tarik balik wakil adalah penyelesaian terbaik pada masa sekarang bagi isu lompat parti (https://www.idea.int/sites/default/files/speeches/The-Use-and-Design-of-Recall-Votes.pdf). Melalui pilihan raya tarik balik wakil ini, penggubal undang-undang yang ditolak oleh pengundi dengan jumlah yang mencukupi – melalui pengumpulan tandatangan yang sahih – perlu berhadapan dengan satu lagi pilihan raya di mana semua pengundi akan menentukan sama ada dia akan dikekalkan atau dibuang. Asas pilihan raya tarik balik wakil ini bukan terhad kepada lompat parti sahaja, malah boleh merangkumi kesalahan jenayahdi mana hukuman denda kurang daripada RM2,000 atau hukuman penjara kurang daripada setahun yang tidak menyebabkan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat. Sekiranya pilihan raya tarik balik wakil ini diusulkan, satu pilihan raya kecil akan diadakan. Ianya akan berfungsi sebagaimana undang-undang anti-lompat kepada mereka yang pertukaran parti mereka ditolak oleh pengundi. Berbeza dengan undang-undang anti-lompat, pilihan raya tarik balik wakil memperkasakan penggubal undang-undang untuk meninggalkan parti atau menolak kepimpinan parti demi kepentingan rakyat sekiranya tindakan mereka disokong oleh pengundi di kawasan mereka.
- Semua parti yang menolak gejala lompat parti dan menyokong pemerkasaan pengundi perlu berjanji untuk membawa cadangan pilihan raya tarik balik wakil di peringkat persekutuan dan juga peringkat negeri. Sekiranya PH benar-benar tulus menentang gejala lompat parti, kerajaan negeri mereka di Selangor, Pulau Pinang dan Sabah mempunyai tanggungjawab moral untuk memperkenalkan pilihan raya tarik balik wakil di peringkat negeri. Memandangkan pelucutan kelayakan sebagai ahli majlis undangan negeri adalah di bidang kuasa negeri di bawah Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, negeri boleh meminda perlembagaan negeri dan memperkenalkan enakmen yang bersesuaian untuk mewujudkan sistem pilihan raya tarik balik wakil ini, sebagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminda perlembagaan negeri pada 2012 untuk melucutkan kelayakan ahli majlis undangan negeri yang bertukar parti. Memandangkan pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa persekutuan dan Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Undang-undang persekutuan atau Negeri boleh memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjalankan pilihan raya selain daripada pilihan raya yang disebut dalam Fasal (1) [Pilihan Raya untuk Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri]”, pilihan raya tarik balik wakil boleh dan perlu dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Sekiranya pilihan raya tarik balik wakil berjaya membuangkan wakil sedia ada, maka satu pilihan raya kecil akan berjalan seperti biasa sebagaimana dalam kes-kes kekosongan kerusi.
- Parti-parti politik dan penyokong-penyokong mereka perlu mengangkat pandangan yang lebih jauh dan konsisten dalam isu lompat parti dan bukan hanya menyokong apabila kena dengan kehendak mereka dan menentangnya apabila mereka akan menghadapi masalah. Dengan dinamika politik yang cair sejak 2008 dan lebih cair lagi selepas bulan Februari 2020, sebarang pengiraan jangka pendek akan menikam semula dalam jangka sederhana dan panjang kepada parti apabila ada perubahan arus. Pilihan raya tarik balik wakil adalah langkah yang baik dan diperlukan sebenarnya untuk melindungi parti daripada gejala lompat parti yang tidak disokong oleh pengundi dan pada masa yang sama memberikan ruang penjajaran semula politik yang disokong oleh pengundi. Oleh kerana ia dapat merangsangkan kestabilan politik dan membenarkan perubahan kontigensi, pilihan raya tarik balik wakil adalah kunci kepada pembinaan politik professional yang sangat diperlukan oleh Malaysia selepas keadaan hulu-hara politik sejak Februari 2020.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0