Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyeru semua pengundi Pilihan Raya Kecil N23 Chini melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun negara masih menghadapi risiko penularan wabak Covid-19. Kami percaya pelaksanaan sistem demokrasi perlu diteruskan dan pada masa yang sama langkah-langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 boleh diambil oleh semua pihak, terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bersih 2.0 ingin mencadangkan beberapa perkara kepada SPR dalam rangka melaksanakan Pilihan Raya Kecil N23 Chini yang dijadualkan pada 4 Julai 2020.
1. Penamaan calon
SPR boleh memanjangkan tempoh penamaan calon selama lima hari di mana calon boleh hantar kertas penamaan secara atas talian atau dengan serahan tangan dalam tempoh masa lima hari bagi menghindari perhimpunan awam sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) menangani wabak Covid-19. Sekiranya calon memilih untuk hantar sendiri, maka perlu hadkan kepada 4 orang sahaja daripada setiap calon. SPR juga boleh membuat pengumuman calon-calon yang diterima pada hari penamaan secara maya dan melalui kenyataan media tanpa perlu adanya penyokong calon untuk hadir ke pusat penamaan.
Calon juga boleh membuat pembetulan sekiranya terdapat kesilapan semasa prosedur mengisi borang penamaan calon dengan penghantaran kertas penamaan semula selagi dalam lima hari tempoh penamaan.
Bagi proses bantahan, borang calon yang lengkap perlu dipamerkan secara rasmi dengan beberapa maklumat peribadi calon akan ditutup bagi membolehkan calon lain membantah sekiranya terdapat isu berbangkit seperti bankrupsi atau calon beralamat di luar kawasan pilihan raya memandangkan pilihan raya kali ini adalah di peringkat negeri. Tempoh bantahan boleh ditetapkan kepada dua hari selepas penutupan penamaan calon dan bantahan bertulis boleh dihantar kepada SPR dalam tempoh bantahan ini.
2. Kempen Pilihan Raya
a. Media
Kerajaan perlu memberikan ruang yang sama rata kepada semua calon termasuk pembangkang untuk membuat penampilan dan berkempen di media arus perdana seperti RTM, termasuk menyiarkan perdebatan antara calon-calon. Ini seharusnya dilaksanakan walaupun tanpa ada ancaman wabak seperti Covid-19 yang sedang kita hadapi sekarang, namun langkah ini boleh dilakukan sekarang disebabkan kempen secara konvensional seperti ceramah umum perlu dihentikan.
Menurut Perkara 115(2)-Bantuan Kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR boleh “meminta pihak berkuasa awam untuk memberikan apa-apa bantuan sebagaimana yang dapat dilaksanakan kepada Suruhanjaya dalam menunaikan tugasnya”. Adalah mustahak untuk SPR memastikan semua calon dapat berkempen atas padang yang sama rata memandangkan kempen melalui pendekatan ceramah tidak lagi dapat dijalankan disebabkan wabak Covid-19. SPR boleh meminta RTM untuk menyiarkan kempen-kempen semua calon secara sama rata agar mesej setiap calon dapat disampaikan kepada pengundi agar pengundi dapat membuat pertimbangan berdasarkan maklumat yang lengkap.
b. Ceramah, ceramah berkelompok
Sebarang ceramah atau ceramah berkelompok pilihan raya perlu dihentikan sama sekali untuk mengelakkan himpunan orang ramai.
c. Kempen pintu ke pintu dan edaran risalah
Kempen pintu ke pintu boleh dijalankan dengan syarat mematuhi penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan tidak melebihi 4 orang.
3. Hari Pengundian
a. Kad Pengundi
Kami mengalu-alukan langkah SPR mencadangkan masa keluar mengundi untuk pengundi pada hari mengundi supaya mengelakan penumpuan pengundi pada masa-masa tertentu dan maklumat ini akan dimasukkan ke dalam kad pengundi yang dihantar oleh SPR kepada semua pengundi-pengundi sebelum hari mengundi.
b. Perbanyakkan pusat dan saluran pengundian
Untuk mengelakkan terlalu ramai pengundi berkumpul di pusat mengundi, SPR boleh membuka lebih banyak pusat mengundi dan saluran mengundi. SPR boleh mencontohi sebagaimana yang dilakukan di Indonesia di mana pusat pengundian tidak semestinya di sekolah, malah boleh di kawasan penempatan seperti di kampung-kampung atau perumahan. Selain daripada kelas-kelas di sekolah, SPR boleh mendirikan khemah-khemah untuk menambah saluran pengundian dan khemah ini boleh didirikan di kawasan-kawasan lain daripada kawasan sekolah. Rasionalnya agar kurang orang berkumpul dengan terlampau banyak di tempat pengundian yang biasanya mencecah 300 ke 500 orang. Selain itu pergerakan juga akan dikurangkan.
c. Memanjangkan masa mengundi
Jika perlu, SPR juga boleh memanjangkan masa mengundi yang biasanya dari 8.00am ke 5.00pm kepada 8.00am ke 8.00pm untuk mengelakkan pemusatan pengundi-pengundi.
d. Undi pos dan pusat pengundian khas
SPR boleh mengkategorikan pesakit Covid-19 atau mereka yang masih berada dalam tempoh kuarantin sebagai pengundi pos dan meminta mereka mendaftarkan diri sebagai pengundi pos agar mereka dapat membuang undi melalui undi pos.
e. Pergerakan rentas negeri perlu dibenarkan kepada pengundi-pengundi
Pengundi-pengundi PRK Chini yang tinggal di negeri lain dan ingin pulang untuk membuang undi perlu dibenarkan untuk merentas negeri untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi atau diberi hak untuk membuang undi secara undi pos.
f. Stesen Saringan
Setiap pusat pengundian perlu membuka pusat saringan untuk menyaring pengundi sebelum mereka memasuki tempat mengundi. Saringan ringkas seperti suhu badan perlu dibuat. Mereka yang suhunya lebih 37.5 darjah Celsius perlu diarahkan ke saluran khas untuk membuang undi. SPR juga perlu menyediakan pelitup muka dan sarung tangan plastik kepada pengundi sebelum mereka masuk ke dalam saluran untuk membuang undi. Sarung tangan ini perlu dibuang sebaik sahaja pengundian dilakukan.
Hand sanitiser perlu disediakan di dalam semua pusat mengundi dan saluran mengundi untuk penggunaan kakitangan SPR dan para pengundi.
g. Nyahjangkit Pusat Pengundian
Sebagaimana yang dilakukan di Korea Selatan, proses menyahjangkit pusat-pusat pengundian dilakukan sekurang-kurangnya dua hari sebelum hari pengundian. Ini supaya pusat pengundian betul-betul bebas daripada virus sebelum hari pengundian.
Walaupun Covid-19 sedang melanda kita, namun ianya tidak boleh dijadikan alasan untuk menhentikan proses demokrasi dalam negara kita. Negara seperti Korea Selatan telah membuktikan bahawa proses pilihan raya dapat dijalankan dengan cemerlang. Apa yang utama adalah kerjasama antara semua pihak. Kita juga mempunyai pasukan kesihatan yang hebat dan sentiasa bersiaga untuk memberi bantuan serta nasihat berkenaan bagaimana kaedah terbaik untuk menjalankan pilihan raya.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0