Kenyataan Media Bersih 2.0 (7 Jun 2020): Penubuhan Biro Antarabangsa Bersih 2.0 Bagi Solidariti Pergelutan Demokrasi Di Peringkat Global

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengumumkan penubuhan Biro Antarabangsa Bersih 2.0(B2IB) bagi tujuan memanjangkan solidariti kami kepada gerakan rakyat di belahan negara yang lain yang berkempen untuk pilihan raya bebas dan adil serta demokrasi.

Kami percaya penambahbaikan kepada pilihan raya bebas dan adil dan demokrasi di mana-mana belahan dunia akan menyumbang kepada masyarakat yang lebih terbuka, lebih adil dam berpernyertaan, yang bukan sahaja memberi kepada kemaslahatan negara tersebut bahkan akan melimpah kepada komuniti global.

Bersih 2.0 juga yakin bahawa sebarang ekspresi atau tindakan bagi demokrasi dan pilihan raya yang adil dan bersih adalah hak asasi manusia serta perlu dihormati dan dimartabatkan. Perkara ini adalah selari dengan Perkara 21 Deklarasi Hak Asasi manusia yang menyatakan (1) Setiap orang berhak mengambil bahagian dalam kerajaan negaranya, secara langsung atau melalui wakil-wakil yang dipilih dengan bebas (2) Setiap orang adalah berhak kepada peluang samarata kepada perkhidmatan awam dalam negaranya (3) Kemahuan rakyat hendaklah menjadi asas kewibawaan kerajaan; kemahuan ini hendaklah dibuktikan melalui pilihanraya berkala yang sejati yang mana hendaklah diadakan secara sejagat dan samarata dan hendaklah diadakan secara undi sulit atau melalui acara pengundian bebas yang ketara.

Sebagai sebahagian daripada komuniti pertubuhan masyarakat sivil dan penerima solidariti antarabangsa, Bersih 2.0 mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan solidariti dan sokongan kepada individu atau gerakan di negara lain yang berkongsi ideal yang sama dan berkempen untuk pilihan raya bebas dan adil serta demokrasi secara aman. Solidariti global sangat diperlukan kini memandangkan kita sedang menyaksikan tolakan demokrasi ke belakang oleh autoritarianisme dan militarisme yang dimarakkan oleh populisme nasionalistik dan kumpulan berhaluan kanan.

Melihat kepada keterhadan sumber, tenaga manusia dan peristiwa-peristiwa yang berlaku setiap hari secara global, kami hanya akan mengeluarkan kenyataan solidariti untuk pilihan raya bebas dan adil serta demokrasi kepada kejadian di belahan dunia yang lain berdasarkan kriteria berikut sebagai panduan:

  1. Isu teras yang terlibat dalam sesuatu peristiwa adalah manifestasi pilihan raya bebas dan adil serta demokrasi;
  2. Peristiwa yang berlaku adalah bertentangan dengan semangat, prinsip dan amalan demokrasi dan pilihan raya bebas dan adil serta melanggari hak asasi manusia kepada mereka yang sedang berkempen untuknya;
  3. Peristiwa tersebut mengakibatkan kecederaan yang serius, malah menyebabkan kematian kepada golongan yang memperjuangkan pilihan raya bebas dan adil serta demokrasi;
  4. Pembatasan pilihan raya bebas dan adil serta demokrasi adalah pada skala yang besar, merebak dan secara sistemik;
  5. Peristiwa yang berlaku berpotensi memberikan kesan/implikasi negatif terhadap pilihan raya bebas dan adil serta demokrasi di Malaysia atau dalam wilayah atat kategori negara-negara di mana Malaysia berada.

Jika sesuatu peristiwa mempunyai tiga daripada lima kriteria yang disenaraikan di atas, B2IB akan mencadangkan Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 untuk mengeluarkan kenyataan media untuk menunjukkan solidariti kami dan isu-isu yang berbangkit.

Biro Antarabangsa Bersih 2.0 akan mempertimbangkan keutamaan geografi dalam tatanan negara jiran, negara-negara Asia Tenggara, negara-negara Asia-Pasifik dan negara-negara lain dalam operasinya.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0