Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) dengan tegas menolak usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada hari pertama sidang Parlimen pada 13 Julai untuk menukar Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya, Nga Kor Ming. Seorang lagi Timbalan Yang Di-Pertua Rashid Hasnon yang merupakan salah seorang ahli parlimen di kem Muhyiddin dilihat tidak terkesan oleh usul tersebut. Usul bagi menukar Yang Di-Pertua Dewan Rakyat pada pertengahan penggal tidak pernah terjadi di Malaysia kerana jawatan tersebut biasanya kosong apabila Parlimen dibubarkan, adanya kematian ataupun perletakan jawatan.
Secara konvensyen, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dalam Sistem Parlimen Westminster perlu berada di atas politik partisan dan sekiranya beliau merupakan ahli parlimen, beliau perlu meletakkan jawatan di dalam parti politik apabila dilantik secara majoriti ahli parlimen kerana adalah sangat penting Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dilihat sebagai pengelola Dewan yang adil. Di UK, calon untuk jawatan Yang Di-Pertua Dewan perlu dicalonkan oleh sekurang-kurangnya 12 ahli parlimen, dengan tiga daripadanya adalah daripada parti yang berbeza. Bahkan timbalannya perlu daripada parti yang berbeza dan perlu meletak jawatan daripada jawatan parti.
Sebaliknya di Malaysia, Yang Di-Pertua Dewan secara tradisinya dianggap pengawal pintu kepada Eksekutif, menahan usul atau rang undang-undang oleh pembangkang atau bahkan menghadkan ucapan, yang menghakis keadilan jawatan tersebut. Yang Di-Pertua Ariff, yang bukan merupakan ahli parlimen dan telah meletak jawatan daripada parti politik sejak pelantikannya bermula pada Sidang Parlimen ke-14 pada tahun 2018, telah mentransformasikan jawatannya dengan saksama dan benar-benar menghargai semangat kepelbagaian parti.
Sebagai rakyat dan pembayar cukai, kita membayar RM44 juta setahun secara bulanan, termasuklah RM16,000 untuk ahli-ahli parlimen, RM31,000 untuk Yang di-Pertua Dewan dan RM22,000 untuk timbalan, bagi menanggung Dewan Rakyat. Memandangkan Malaysia sedang menghadapi penularan wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi global, kita tidak dapat menanggung Dewan Rakyat menjadi gajah putih yang menelan perbelanjaan RM44 juta setahun untuk elaun sahaja, atau hanya meluluskan kehendak Eksekutif sahaja.
Kami dengan ini menuntut semua ahli parlimen untuk mengundi menolak usul bagi menukar Yang di-Pertua Ariff untuk meneruskan reformasi yang sedang berjalan, daripada menggantikan beliau dengan seseorang dengan karakter partisan
Kami menggesa semua ahli parlimen untuk menyokong Ariff untuk meneruskan reformasi yang sedang dilaksanakan di bawah kepimpinan beliau:
- Pembentukan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang rentas parti bagi meneliti polisi dan perbelanjaan kementerian tertentu dan mempunyai kuasa untuk memanggil individu, rekod dan dokumen. Ini memberikan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memainkan peranan yang lebih bermakna dalam pembentukan polisi dan meneliti fungsi kerajaan. Lebih banyak jawatankuasa seperti ini perlu dibentuk supaya setiap kementerian akan dipantau oleh jawatankuasa dan setiap ahli parlimen dapat sekurang-kurangnya berada dalam satu jawatankuasa.
- Pelantikan ahli parlimen pembangkang untuk mempengerusikan Jawatankuasa Audit. Ini telah memperkasakan pembangkang untuk memainkan peranan yang berkesan bagi semak dan imbang di parlimen.
- Parlimen menjadi institusi yang lebih mesra rakyat, di mana mereka telah menganjurkan majlis, biasanya dengan berkolaborasi dengan organisasi tempatan dan antarabangsa, untuk memperkasakan perbahasan berkenaan demokrasi dan hak asasi manusia, selain memberikan akses mudah kepada ahli akademik, pelajar dan ahli pertubuhan masyarakat sivil.
Dan lebih banyak reformasi yang akan diperkenalkan:
- Perkhidmatan Parlimen yang bebas agar staf parlimen tidak dikawal oleh Eksekutif.
- Pengiktirafan Kabinet Bayangan parti pembangkang utama untuk akses kepada sumber maklumat kerajaan
- Tempoh Soalan Perdana Menteri secara mingguan supaya ketua eksekutif dapat dipersoalkan secara sendiri di Dewan.
- Slot khas bagi ‘urusan bukan kerajaan’ dan ‘rang undang-undang persendirian’ agar ahli parlimen kerajaan dan pembangkang dapat memainkan peranan yang lebih membina._
Kami menggesa ahli-ahli parlimen untuk mendengar keluhan rakyat untuk mempunyai parlimen yang berfungsi dan berdaya saing, menghormati mandat mereka sebagai suara rakyat dan bukan sekadar nombor dalam 112, dan menolak usul oleh Muhyiddin untuk menukar Yang D-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ariff Mohamad pada 13 Julai 2020 nanti.
Pada kesempatan gesaan kami untuk mempertahankan reformasi parlimen, Bersih 2.0 juga menyeru rakyat Malaysia untuk menyokon seruan bagi mengekalkan Tan Sri Ariff sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dengan menandatangani petisyen atas talian yang kami lancarkan di pautan berikut: https://www.change.org/KekalkanAriff
Kami juga sedang mengadakan siri webinar untuk membincangkan beberapa aspek reformasi parlimen yang diperlukan bagi mengukuhkan institusi ini. Siri pertama akan diadakan pada malam ini jam 8.30 malam di mana ahli-ahli panelnya adalah Pengerusi Bersih 2.0, Encik Thomas Fann, Ahli Parlimen Pasir Gudang YB Hassan Karim dan Ahli Parlimen Kluang YB Wong Shu Qi. Sesi ini akan dimudahcarakan oleh Cik Ngeow Chow Ying, Bendahari Bersih 2.0 dan webinar ini akan disiarkan di laman Facebook kami: https://www.facebook.com/BERSIH2.0/.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0