Kenyataan Media Bersih 2.0(6 Julai 2020): Pengerusi Bersih 2.0 Dipanggil Polis Untuk Siasatan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann telah menerima panggilan daripada pihak polis(PDRM) untuk disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 berkaitan satu kiriman di laman Facebook rasmi kami pada 29 Februari 2020. Kiriman tersebut menggesa rakyat yang tidak setuju dengan pengkhianatan mandat rakyat akibat oleh Langkah Sheraton untuk menyertai satu protes yang dipanggil “Turun Ke Jalan: Demokrasi Mati” di Dataran Merdeka pada malam tersebut.

Fann akan ke IPD Dang Wangi untuk disoal siasat pada 7 Julai 2020 pada pukul 11 pagi. Beliau akan diiringi seorang peguam apabila memberikan keterangan kepada pihak polis.

Bersih 2.0 mengingatkan sekali lagi kerajaan Perikatan Nasional(PN) bahawa hak berhimpunan secara aman dan kebebasan bersuara, berekspresi dan berpersatuan adalah termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Perlu dimaklumkan juga bahawa seruan kami untuk menyertai protes aman tersebut adalah dibuat sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Kami kesal di bawah kerajaan PN Muhyiddin Yassin, era ugutan politik dan membisukan suara penentangan yang merupakan kebiasaan di bawah era Barisan Nasional sudah kembali.

Selain daripada Fann, dalam beberapa minggu ini juga terdapat beberapa individu yang dipanggil untuk soal siasat. Antaranya adalah Pengasas-Pengarah Center to Combat Corruption and Cronyism(C4), Cynthia Gabriel dipanggil kerana satu kenyataan media bertajuk “Anti-rasuah tidak akan menyucikan kerajaan Perikatan Nasional”, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh disebabkan mesej Twitternya, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq bagi temu ramah beliau di Al-Jazeera, aktivis Siti Kasim disebabkan kiriman Facebook dan wartawan Tashny Sukumaran kerana laporan serbuan warga asing tanpa dokumen semasa tempoh PKP.

Pada 14 Jun, pengacara dan pelakon terkenal,  Patrick Teoh telah didakwa di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia di atas tuduhan membuat penghinaan dengan sengaja untuk menyakitkan hati orang lain kepada Tengku Mahkota Johor(TMJ) di kiriman Facebook.

Tindakan undang-undang juga telah dikenakan kepada portal berita Malaysiakini kerana tuduhan komen hasutan yang dikirim oleh pelanggannya ke atas judisiari, dan penerbit buku Gerakbudaya telah diserbu oleh polis kerana kulit buku yang berimej seperti jata negara.

Bersih 2.0 berpandangan sekatan terhadap kebebasan asasi sebagai simptom kerajaan yang kurang keyakinan dan yang tidak mempunyai legitimasi selepas perampasan kuasa politik empat bulan sebelum ini. Sehingga hari ini, Muhyddin masih menafikan peluang Parlimen untuk mengesahkan dakwaan beliau bahawa kerajaannya mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli parlimen.

Bersih 2.0 menggesa semua rakyat Malaysia untuk bersolidariti dengan semua pihak yang sedang diugut dan mempertahankan kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Kami akan terus bergerak tanpa rasa gentar dan takut.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0