Kenyataan Media Bersih 2.0 (13 Julai 2020): Pengerusi SPR Baharu Perlu Mempunyai Kepercayaan Awam Bagi Meneruskan Reformasi Pilihan Raya

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) mengambil maklum peletakan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR), Datuk Azhar Azizan Harun yang berkuatkuasa pada 29 Jun 2020. Selepas pilihan raya umum yang lepas, Bersih 2.0 telah banyak membuat kerjasama dengan SPR yang diterajui oleh Datuk Azhar Azizan Harun untuk memperkasakan SPR serta mereformasi sistem pilihan raya negara kita.

Bersih 2.0 mengucapkan terima kasih di atas usaha yang Datuk Azhar Azizan Harun lakukan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan Pengerusi SPR untuk memperbaharui pilihan raya negara kita. Beberapa pembaharuan yang diperkenalkan telah menjadikan penjalanan pilihan raya dalam negara kita lebih baik dan telus serta sekaligus melonjakkan nama SPR sebagai badan pelaksana pilihan raya yang lebih berwibawa.

Antaranya adalah penyediaan kad pengundi yang diedarkan sebelum pilihan raya bagi memaklumkan pengundi tarikh pengundian, tempat dan saluran pengundian, menyediakan kamera kecil di penjuru meja kerani pengundian bagi memantau proses pengundian dan pengiraan undi, menyemak dan menyiasat senarai pemilih yang berusia 90 tahun ke atas untuk mengeluarkan nama pengundi yang telah meninggal, serta pernah memberi amaran kepada kerajaan untuk tidak menggunakan jentera kerajaan bagi berkempen.

Reformasi yang dilaksanakan termasuklah pengedaran kad pengundi sebelum pilihan raya bagi memaklumkan tarikh, pusat dan saluran pengundian kepada pengundi, siaran langsung pengundian, pengiraan dan penjumlahan undi, pengesahan kewujudan pengundi berumur 90 tahun dan ke atas untuk mengeluarkan mereka yang telah meninggal dunia daripada senarai daftar pemilih, membuat laporan polis berkenaan kesalahan pilihan raya, membawa calon yang tidak menghantar laporan perbelanjaan pilihan raya ke mahkamah dan lain-lain lagi.

Penggantian Pengerusi SPR yang baharu mesti mematuhi syarat Perkara 114(2) Perlembagaan Persekutuan bahawa bagi pelantikan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya suatu Suruhanya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam. Bagi memastikan pengerusi atau mana-mana ahli SPR mempunyai kepercayaan awam, Bersih 2.0 yakin bahawa kriteria berikut perlu dipenuhi:

  1. Rekod prestasi terbukti dalam integriti individu;
  2. Rekod prestasi terbukti dalam kesaksamaan dan bebas daripada politik kerajaan dan parti;
  3. Rekod prestasi terbukti dalam pengetahuan/pengalaman/kepakaran mengenai undang-undang pilihan raya dan sistem pilihan raya.

Bersih 2.0 juga ingin mengulangi gesaan kami agar SPR perlu terus komited melaksanakan agenda reformasi pilihan raya supaya sistem pilihan raya negara kita benar-benar bersih dan adil serta tidak dilihat sebagai alat kepada mana-mana pihak untuk memastikan mereka terus berkuasa. SPR sebagai pengadil dalam pilihan raya perlu terus bebas untuk memastikan padang permainan pilihan raya adalah sentiasa sama rata dan tidak berat sebelah.

 

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0