Kenyataan Media Bersih 2.0(Sabah) 23 Julai 2020: Bersih 2.0(Sabah) Kutuk Cubaan Sogokan Untuk Lompat Parti, Seru Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat

Bersih 2.0 (Sabah) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyogok beberapa Ahli Dewan Undang Negeri(ADUN) Sabah untuk meninggalkan parti mereka dengan habuan wang dan jawatan menteri sebagaimana yang dilaporkan oleh Borneo Today bertajuk “Rumah Adun DAP Diketuk ‘Ejen’ Pagi Buta Dipercayai Untuk Tawar Melompat” dan “Kediaman Adun Moyog Dan Adun Kapayan Didatangi ‘Ejen’ Tawar Lompat Parti”.

Dalam situasi politik yang tidak menentu dan memualkan ini, kita perlukan kerajaan yang stabil dan Pembangkang yang berkesan untuk memastikan jentera kerajaan negeri dipantau dengan teliti.

Di kesempatan ini juga, Bersih 2.0 (Sabah) menyeru Kerajaan Negeri Sabah untuk menggunakan majoriti 2/3 di dalam Dewan Undang Negeri untuk mencegah tindakan lompat parti dengan memperkenalkan pilihan raya pecat wakil rakyat.

Melalui mekanisme pilihan raya pecat wakil rakyat ini, pengundi dapat mengumpul tandatangan yang mencukupi bagi memulakan pilihan raya untuk menentukan sekiranya ADUN terkini perlu dipecat, dan sekiranya mencapai nilai ambang maka ADUN tersebut akan dipecat. Sekiranya ADUN melompat parti dan perkara ini bertentangan dengan kehendak pengundi, maka beliau juga boleh dipecat dengan mekanisme tersebut. Mekanisme pilihan raya pecat wakil rakyat ini akan menghalang katak politik dan mengukuhkan kestabilan politik. Berbanding undang-undang anti-lompat yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi pada 1992 sebagai tidak berperlembagaan, pilihan raya pecat wakil rakyat di peringkat negeri bergantung kepada kelayakan dan perlucutan kelayakan terhadap ADUN dan kes sebegini belum pernah dibuat.

Bersih 2.0 (Sabah) mengingatkan kerajaan negeri, bahawa mereka sendiri akan bertanggungjawab sekiranya gagal menggunakan majoriti 2/3 utnuk mencegah fenomena lompat parti dan akhirnya menempa kejatuhan sendiri disebabkan oleh gejala lompat parti.

Sabah, yang dikenali dengan katak politik, kini seharusnya menunjukkan jalan kepada negara bahawa ahli politik tidak akan membuang mandat rakyat demi keuntungan wang dan jawatan menteri. PRU15 akan berlangsung tidak lama lagi, setiap parti politik perlu menumpukan perhatian untuk memperkasakan parti sendiri dan bersedia untuk pilihan raya.

Parti politik wajib menghormati mandat rakyat yang diberikan kepada mereka pada PRU lepas dan hentikan penukaran kerajaan secara tidak beretika di pertengahan penggal. Tindakan membeli wakil rakyat hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap ahli politik dan proses pilihan raya. Tidak ada keperluan untuk mengundi sekiranya ahli politik mudah dijual beli dan melompat parti, dan ini hanya akan memberi kesan buruk kepada demokrasi.

Bersih 2.0 (Sabah) sekali lagi menegaskan tuntutan kami bahawa semua parti politik di kedua-dua belah pihak untuk menghentikan politik jijik ini sekarang!

Dikeluarkan oleh:
Bersih 2.0 (Sabah)