Kenyataan Media Bersih 2.0(30 Julai 2020): Lompat Parti Tidak Akan Berakhir Dengan Pilihan Raya Mengejut Di Sabah

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) maklum bahawa Ketua Menteri Sabah mempunyai hak untuk memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri(DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri disebabkan oleh lompat parti oleh beberapa ADUN daripada gabungan pemerintah, namun kami ingin menegaskan semula bahawa masalah lompat parti oleh wakil rakyat sehingga menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri dan persekutuan tidak akan berkesudahan selagi undang-undang kita membenarkannya.

Di dalam demokrasi berparlimen, adalah menjadi prerogatif Ketua Kerajaan(Ketua Menteri dalam kes ini) untuk memohon pembubaran awal dan prerogatif Ketua Negeri(Tuan Yang Terutama) untuk menentukan sama ada memberikan persetujuan atau tidak. Sekiranya persetujuan diberikan, pilihan raya tidak dapat dibatalkan oleh mana-mana pengakuan majoriti dalam pembubaran badan perundangan.

Walaubagaimanapun, pilihan raya awal tidak menjamin penyelesaian kepada kebuntuan politik sekiranya keputusan akhir pilihan raya kekal terpecah-pecah dan ahli-ahli politik enggan menerima keputusan dan menghormati mandat lima tahun yang diberikan kepada gabungan yang menang.

Wakil rakyat tidak sepatutnya mengenepikan kehendak pengundi mereka dan bertukar kesetiaan atau lebih teruk, menjual kerusi mereka demi jawatan dan wang. Tindakan sebegitu adalah pengkhianatan kepada pengundi dan menghina demokrasi serta proses pilihan raya.

Bersih 2.0 menggesa semua pemegang taruh untuk meneliti semula akar permasalahan dan kelemahan di dalam undang-undang yang memberikan galakan kepada ahli-ahli politik untuk sesuka hati melompat parti, dan menyokong reformasi yang akan memberikan kestabilan kepada situasi politik kita.

Antara reformasi yang kami advokasikan adalah:

  1. Pilihan raya pecat wakil rakyat sebagai mekanisme untuk mencegah lompat parti. Ini adalah mekanisme yang akan memperkasakan pengundi wakil rakyat yang melompat untuk berpeluang memulakan pilihan raya pecat wakil rakyat bagi menyingkirkan wakil rakyat itu sekiranya mereka tidak bersetuju dengan tindakan beliau.
  2. Reformasi pendanaan politik komprehensif untuk mencegah ahli-ahli politik daripada melompat dengan diberikan ganjaran yang besar seperti lantikan wakil rakyat menjadi ahli lembaga GLC, tidak memberikan dana pembangunan kawasan yang sama rata kepada wakil rakyat dan dana awam kepada parti politik.
  3. Menghentikan pendakwaan atau imuniti terpilih dengan memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Semua institusi utama perlu dibebaskan daripada pengaruh Perdana Menteri secara langsung atau tidak langsung
  4. Mengubah sistem pilihan raya bagi memberikan mandat secara langsung kepada parti supaya ada kerusi yang kekal dengan parti yang memenangkannya dan bukan kepada calon.

Kami menggesa semua parti untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri untuk menyatakan pendirian yang jelas terhadap empat reformasi ini dan agar pengundi mempertimbangkannya di petak mengundi sekiranya mereka benar-benar menghargai demokrasi dan kestabilan politik.

Perhatian juga perlu diberikan bahawa pilihan raya mengejut ini akan berjalan semasa virus COVID-19 masih lagi menjadi ancaman kesihatan rakyat dan hal ini memerlukan protokol keselamatan dan pegawai tambahan bagi memastikan aktiviti kempen dan pengundian tidak akan menyebabkan penularan wabak COVID-19.

Bersih 2.0 menggesa pengundi di Sabah untuk keluar beramai-ramai untuk mengundi dan memastikan pilihan raya adalah bebas dan adil, serta bersih daripada politik wang agar menghasilkan keputusan pilihan raya yang lebih dipercayai.

Kami juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya membenarkan orang Sabah yang bekerja di Semenanjung untuk berdaftar sebagai pengundi pos disebabkan kos penerbangan pulang yang sangat tinggi untuk balik mengundi dan juga berisiko penyebaran virus Covid-19.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0