Kenyataan Media Bersih 2.0(9 Ogos 2020): Kurang Percaya Kepada Institusi Awam Disebabkan Kekurangan Kebebasan Berinstitusi

KURANG PERCAYA KEPADA INSTITUSI AWAM DISEBABKAN KEKURANGAN KEBEBASAN BERINSTITUSI

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengulangi seruan kami (1) kepada reformasi undang-undang untuk membebaskan institusi awam utama daripada cengkaman dan pengaruh Eksekutf iaitu Pejabat Perdana Menteri untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap institusi-institusi tersebut dan supaya ada garis pemisahan kuasa yang jelas di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.

Kami merujuk kepada suara orang ramai daripada pelbagai segmen masyarakat berkenaan pertuduhan rasuah terhadap bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, pendakwaan bekas PM Najib Razak, dan pengguguran pertuduhan Musa Aman dan Riza Aziz daripada rasuah dan penggubahan wang haram
.
Persepsi orang ramai terhadap pendakwaan terpilih atau kekebalan daripada pendakwaan tidak dapat dielakkan oleh kerana kuasa melantik jawatan utama seperti Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Polis Negara, ahli-ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, ketua hakim-hakim dan banyak lagi institusi yang lainnya adalah di bawah kuasa Perdana Menteri.

Besih 2.0 menyeru pelantikan utama ini dikeluarkan daripada kuasa Perdana Menteri dan proses-proses pelantikannya dibuat secara telus kepada orang ramai dan diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkenaan, kecuali pelantikan kehakiman yang prosesnya *perlu bebas daripada sebarang campur tangan politik.* Kebebasan institusi-institusi ini tidak akan sempurna tanpa reformasi yang diperlukan untuk memastikan autonomi kewangan dan pelantikan staf. Sehingga reformasi ini dilembagakan dalam undang-undang dan diamalkan, tindakan, keputusan dan integriti oleh institusi ini akan sentiasa dipersoalkan serta menjadi satu pencemaran nama oleh kerja baik yang mereka lakukan.

Kerajaan Pakatan Harapan(PH) telah berjanji untuk melaksanakan reformasi ini dalam manifesto mereka namun gagal untuk menunaikannya melalui pindaan undang-undang walaupun mereka telah mengumumkan bahawa mereka membebaskan institusi ini secara pentadbiran. Peluang yang dilepaskan kini kembali menghantui mereka.

Bersih 2.0 telah mengeluarkan kenyataan bersama Gabungan Bertindak Malaysia(GBM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) bertajuk 6 Perkara Persetujuan Pelbagai Parti Bagi Penjajaran Semula Politik dan Penamatan Komplot Parti Tidak Berkesudahan (2), bahawa perlunya ada Kesataraan di sisi Undang-Undang. Dalam mengembalikan kebebasan dan keadilan melalui reformasi kehakiman, satu Pejabat Pendakwa Raya yang bebas dan tidak politikal perlu segera ditubuhkan supaya Jabatan Peguam Negara(AGC) dapat beroperasi secara berasingan serta menjalankan tugas utamanya untuk mendraf undang-undang dan memberikan nasihat perundangan kepada kerajaan.

Ketidakstabilan politik dalam negara yang disebabkan oleh parti atau gabungan yang melompat adalah kesan langsung daripada pendakwaan oleh kerajaan yang memerintah hari ini. Semua orang ingin bersama siapa saja yang memegang kuasa di Persekutuan untuk meloloskan diri daripada salah laku, sama ada benar atau dipalsukan.

Sementara itu, kami mengharapkan institusi seperti SPRM, Peguam Negara, PDRM dan kehakiman akan terus mendesak untuk reformasi serta menjalankan tugas mereka secara profesional dan telus. Sesiapa sahaja yang didakwa, proses undang-undang mesti dipatuhi dan berdasarkan bukti yang nyata.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

(1) https://www.bersih.org/kenyataan-media-5-september-kes-lim…/
(2) https://www.bersih.org/kenyataan-media-bersih-2-0-gbm-dan-…/