Bersih 2.0 akan menggerakkan pemantau rakyat bagi memantau penjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ke-16 yang akan diadakan daripada 12-26 September 2020. Pemantauan salah laku pilihan raya ini sebenarnya telah pun dimulakan sebaik sahaja pembubaran DUN diisytiharkan oleh Ketua Menteri Sabah DSP Shafie Apdal.
Tujuan misi pemantauan pilihan raya adalah untuk memastikan hak pengundi Sabah dihormati dan pilihan raya negeri dijalankan dengan bersih, bebas dan adil serta wujud padang permainan sama rata untuk semua calon dan parti politik. Ianya perlu bebas daripada salahlaku dan pembelian undi untuk menunjukkan kehendak sebenar orang Sabah dalam keputusan pilihan raya.
Bersih 2.0 akan menghantar pemantau pilihan raya di 27 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 73 DUN di Sabah yang akan memantau kempen pilihan raya calon-calon dan parti-parti politik dan perjalanan pilihan raya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya secara fizikal. DUN yang dipilih adalah DUN yang dianggap panas dan serta kawasan tokoh-tokoh politik utama di Sabah. Selain itu, kami juga akan memantau perjalanan kempen secara atas talian (online) untuk kesemua kawasan DUN Sabah.
Pemantauan akan meliputi hari penamaan calon, tempoh berkempen, hari mengundi, pengiraan undi dan sehingga pengumuman keputusan pilihan raya.
Semasa pilihan raya, misi pemantauan akan mengedarkan maklumat-maklumat penting berkenaan hak-hak pengundi. Pemantau juga akan mendedahkan pelanggaran undang-undang pilihan raya yang utama dan kesalahan pilihan raya oleh calon, ejen calon, parti politik dan mana-mana pihak ketiga serta orang awam. Akhirnya satu laporan pemantauan pilihan raya yang merekodkan dapatan utama semasa pemantauan dan cadangan penambahbaikan untuk masa hadapan akan dikeluarkan.
Bersih 2.0 juga telah melancarkan kempen sumbangan Projek Pantau PRN Sabah bagi mengutip sumbangan dana daripada orang ramai untuk menampung kos pemantauan pilihan raya. Dana ini akan digunakan untuk membayar kos pengangkuan, penginapan, makanan, belanja komunikasi pemantau, sesi latihan kepada pemantau dan kempen pendidikan pengundi.
Sebarang sumbangan dana boleh disalurkan ke akaun kami: Bersih & Adil Network- 5122 9510 2931(Maybank). Sasaran kami adalah sebanyak RM30,000 untuk menampung kos pemantauan pilihan raya ini. Sila nyatakan PRNSabah sebagai rujukan sumbangan. Resit rasmi akan diberikan dengan menghantar permintaan resit ke [email protected].
Bersih 2.0 sekali lagi mengingatkan semua pihak terutamanya calon-calon dan parti-parti politik untuk mematuhi etika pilihan raya yang bersih, bebas dan adil serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Berkempen dan bersainglah secara adil, berhemah serta intelektual demi mendapatkan kepercayaan rakyat Sabah. Pastikan pilihan raya kali ini benar-benar bersih dan adil.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0