Kenyataan Media Bersih 2.0 (11 September 2020)- Bersih 2.0 Siap Sedia Menganjurkan Debat Agung Calon Ketua Menteri Sabah

Kenyataan Media Bersih 2.0
11 September 2020

Bersih 2.0 Siap Sedia Menganjurkan Debat Agung Calon Ketua Menteri Sabah

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersiap sedia menganjurkan Debat Agung Ketua Menteri pada 19 September 2020, jam 7.30pm – 10.00pm di Kota Kinabalu bagi mementaskan calon-calon Ketua Menteri daripada parti dan gabungan politik utama di Sabah.

Tujuan utama debat ini dianjurkan adalah untuk memberi peluang kepada semua pengundi-pengundi di Sabah untuk mendengar apakah visi, wawasan, manifesto dan program calon-calon ketua menteri gabungan-gabungan parti dan parti-parti poltik yang bertanding supaya boleh membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan Sabah.

Calon-calon Ketua Menteri akan diminta untuk mengemukakan manifesto, visi dan wawasan sekiranya mereka diangkat menjadi Ketua Menteri dan membentuk kerajaan untuk mentadbir negeri Sabah untuk lima tahun yang seterusnya. Soalan-soalan penting berkenaan dengan politik, pembangunan ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan lain-lain di Sabah juga akan ditujukan kepada calon-calon ketua menteri.

Seorang moderator yang neutral akan mengendalikan proses perdebatan ini.

Kami telah menghantar jemputan kepada lima orang calon yang disebut-sebut untuk menjadi Ketua Menteri iaitu Presiden Warisan DSP Shafie Apdal, Presiden PCS DSP Anifah Aman, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar, Ketua Umum USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan mantan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat daripada LDP.

Kami memberikan masa sehingga Isnin(14 September) untuk pihak mereka memberikan jawapan. Sekiranya 2 daripada 5 orang calon yang kami jemput ini bersetuju, maka majlis debat ini akan dijalankan. Debat Agung ini akan disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui media perdana dan media sosial agar semua rakyat Sabah di mana pun mereka berada dapat menyaksikan debat yang bersejarah ini.

Politik di Sabah perlu dijalankan dengan budaya politik yang baik dan sihat seperti memperbanyakkan debat, wacana ilmiah dan dialog-dialog agar suasana politik menjadi lebih harmoni, demokratik serta intelektual.

Diharapkan agar semua calon-calon Ketua Menteri ini bersetuju untuk menghadiri majlis debat ini bagi meraikan kemahuan rakyat Sabah yang dahagakan politik matang dan sihat.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0