Kenyataan Media Bersih 2.0(12 September 2020): Kewajipan Kuarantin Kepada Orang Sabah Pulang Mengundi Akan Menekan Hak Orang Sabah Untuk Mengundi serta Menunjukkan Kepentingan Kepada Undi Pos/Undi Tidak Hadi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) merujuk kepada komen Menteri Kesihatan hari ini bahawa beliau akan berbincang dengan mesyuarat khas kementerian tentang Perintah Kawalan Pergerakan dan Majlis Keselamatan Negara(MKN) berkaitan keperluan untuk melaksanakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang dari Sabah ke semenanjung selepas  pilihan raya negeri Sabah. Hal ini disebabkan perkembangan terbaru penularan wabak Covid-19 di Lahad Datu dan Tawau.

Bersih 2.0 berpandangan bahawa sebarang pengenaan 14 hari kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke semenanjung dari Sabah akan memudarkan semangat orang Sabah yang ingin pulang Sabah untuk mengundi. Kos kuarantin juga akan sangat membebankan kepada golongan ini memandangkan kos penerbangan pulang ke kampung halaman untuk mengundi sudah pun sangat tinggi.

Perkara ini juga akan memberi kesan kepada ahli politik, pekerja parti, pegawai dan pekerja SPR dan pemerhati pilihan raya daripada NGO yang akan ke Sabah untuk terlibat sama dalam pelbagai aspek pilihan raya. Sekiranya kuarantin wajib ini diwajibkan kepada semua tanpa pengecualian, ini akan memberi kesan yang sangat besar terhadap kefungsian institusi-institusi dan pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Kami menyeru KKM dan MKN untuk membuat pertimbangan yang cermat sebelum membuat keputusan melaksanakan tempoh 14 hari kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang dari Sabah ke semenanjung memandangkan sebenarnya penularan wabak hanya tertumpu di penjara daerah Lahad Datu dan Tawau. Sekiranya perlu, SPR boleh mengetatkan SOP untuk penjalanan pilihan raya di kawasan Lahad Datu dan Tawau bagi memastikan bahawa penularan wabak di sana dapat dikawal dengan sebaiknya.

Pandemik ini menunjukkan dengan lebih lanjut keperluan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) menyediakan pengundian pos atau undi tidak hadir kepada pengundi yang tidak dapat mengundi di kawasan pengundian mereka disebabkan terpaksa tinggal jauh atas faktor pekerjaan dan pengajian. Kami menggesa pihak SPR untuk memberikan hala tuju yang jelas bagi pelaksanaan undi pos untuk semua pengundi di luar wilayah. Perkara ini perlu dilaksanakan sebelum pilihan raya umum dan pilihan raya negeri yang seterusnya, terutama sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan datang.

Kegagalan membenarkan pengundian pos atau undi tidak hadir untuk pengundi Sarawak akan dilihat sebagai menghalang hak mengundi, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja sekiranya tidak dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak perlu diadakan sebelum September 2021. Ini boleh dianggap sebagai penghinaan kepada Projek Malaysia selepas 57 tahun dan orang Sarawak sekiranya SPR, cabang Eksekutif dan Parlimen mengambil enteng halangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dari Sarawak yang terpaksa meninggalkan rumah untuk mendapat pendidikan dan peluang pekerjaan, seandainya insitusi-institusi tersebut tidak dapat membuat penyelesaian segera terhadap isu ini.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0