Kenyataan Media Bersih 2.0 (17 September): Debat Calon Ketua Menteri Batal, Hanya Seorang Panel Yang Setuju

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tidak dapat meneruskan majlis Debat Agung Calon Ketua Menteri Sabah kerana hanya seorang sahaja panel yang bersetuju iaitu Ketua Umum USNO Tan Sri Pandikar Amin, untuk menyertai perdebatan calon Ketua Menteri Sabah.

 

Tan Sri Pandikar Amin adalah jemputan pertama yang memberikan respons positif terhadap undangan tersebut sebaik sahaja Bersih 2.0 menghantar jemputan kepada beliau. Calon calon lain untuk jawatan ketua menteri yang telah adalah Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) DSP Shafie Apdal, Presiden Parti Cinta Sabah DSP Anifah Aman, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Sri Bung Mokhtar Radin, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Hajiji Noor dan mantan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat dari Parti Liberal Demokratik(LDP). Namun semua calon ini tidak memberi sebarang respon sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh kami.

 

Kami memuji Tan Sri Pandikar Amin kerana bersedia menghadap pengundi dan menjelaskan visi dan manifesto partinya untuk Sabah. Ini memberi contoh yang baik dalam menyumbang budaya pilihan raya yang lebih sihat dan matang dengan penglibatan dalam perbahasan dasar agar para pengundi dapat membuat keputusan yang tepat dalam pilihan raya.

 

Bersih 2.0 berasa kecewa tidak dapat menjalankan debat ini. Sekiranya debat ini berlangsung, ianya diharapkan dapat memberikan norma baharu kepada proses pilihan raya di Sabah dengan calon-calon ketua menteri perlu berlawan hujah, visi dan manifesto serta membentangkannya kepada pengundi secara tuntas.

 

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0