Kenyataan Media Bersih 2.0(18 September 2020): Adakah Muhyiddin Sedang Merasuah Pengundi Di Sabah?

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) merujuk kepada laporan berita bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menyerahkan cek cura(mock cheque) bernilai RM60 juta kepada wakil nelayan dan petani  dalam satu majlis di Beaufort, Sabah. Turut hadir adalah Menteri Pertanian Dr Ronald Kiandee dan penyandang serta calon DUN Klias Isnin Aliasnih.

Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya menyatakan bahawa mana-mana orang semasa pilihan raya memberikan wang atau sebarang balasan bernilai untuk mempengaruhi mana-mana pengundi hendaklah disifatkan sebagai melakukan kesalahan penyogokan.

Dilaporkan juga bahawa beliau telah mengulangi seruan untuk orang Sabah memilih parti yang selari dengan Putrajaya kerana negeri yang diperintah selari dengan parti pemerintah di persekutuan akan menerima lebih peruntukan dalam ucapan beliau di Beaufort.

Muhyiddin dengan jelas menggunakan kedudukannya dan sumber kerajaan untuk mempengaruhi pengundi di Sabah untuk mengundi calon yang selari dengan Perikatan Nasional.

Kami menggesa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya(SPRM) untuk menyiasat tindakan rasuah oleh Perdana Menteri dan terhadap semua yang menggunakan kedudukan mereka serta sumber kerajaan bagi memancing undi. Orang ramai yang menghadiri ceramah di Beaufort juga perlu membuat laporan polis apa yang mereka dengar dan saksikan di ceramah tersebut serta menjadi saksi sebarang siasatan.

Bersih 2.0 juga menyeru untuk pengundi menolak calon yang ingin menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang melanggar undang-undang. Undilah calon yang mematuhi undang-undang dan menghormati semua undang-undang terutamanya Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0