Kenyataan Media Bersih 2.0(22 September 2020): Tidak Ada Masalah Untuk Ketua Menteri Sabah Memohon Bantuan Daripada Kerajaan Persekutuan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil(Bersih 2.0) merujuk kepada ucapan Ketua Penerangan Perikatan Nasional(PN), Mohamed Azmin Ali pada 20 September 2020 yang menggelar Presiden Parti Warisan Sabah(Warisan), Shafie Apdal sebagai munafik kerana meminta bantuan kewangan untuk Sabah pada 2018 semasa Azmin Ali menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah Pakatan Harapan(PH).

Tidak ada sebarang masalah untuk mana-mana Ketua Menteri atau Menteri Besar meminta bantuan daripada kerajaan persekutuan. Malah, menjadi beban tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk menyediakan bantuan kepada mana-mana negeri di Malaysia apabila perlu kerana rakyat Sabah juga membayar cukai kepada kerajaan persekutuan.

Menggelar Shafie Apdal sebagai munafik kerana melakukan tugas beliau sebagai Ketua Menteri adalah tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Azmin Ali.

Hal ini lebih-lebih lagi apabila agihan pendapatan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah tidak setara, dengan berat sebelah kepada kerajaan persekutuan  yang memberi kesan kepada Sabah sebagai antara negeri termiskin di Malaysia walaupun mempunyai sumber yang banyak.

Azmin Ali seharusnya berasa malu apabila memperlekehkan Ketua Menteri untuk sesebuah negeri meminta bantuan kerajaan persekutuan. Beliau seharusnya memperbaiki masalah struktural yang menyebabkan agihan kekayaan yang tidak saksama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Azmin Ali juga wajib ingat bahawa dana yang diurus kerajaan persekutuan itu adalah duit pembayar cukai, bukan miliknya mahupun partinya. Duit pembayar cukai kepada kerajaan persekutuan tidak seharusnya digunakan untuk memperlekehkan atau mengugut lawan politik dalam pilihan raya. Kerajaan persekutuan dilantik untuk menguruskan dana awam atas nama rakyat dan sepatutnya disalurkan kepada negeri yang memerlukan.

Bersih 2.0 menggesa kerajaan persekutuan untuk memulakan perbincangan dengan semua kerajaan negeri bagi merundingkan satu kerangka agihan kekayaan yang baharu yang akan memperbaiki senggang pendapatan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, dengan semangat federalisme yang betul di mana negara kita berdiri di atasnya.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0